Runtuhan di puncak gunung punca kepala air di Slim River

TANJUNG MALIM – Runtuhan tanah di puncak Gunung Condong Geliting merupakan punca berlakunya insiden kepala air di beberapa kampung di Slim River pada 23 Ogos lalu.

Pegawai Daerah Muallim Mohd Sabli Bakri berkata, tinjauan menggunakan dron mendapati kesan runtuhan di puncak Gunung Condong Geliting yang dipercayai punca berlakunya halangan laluan air.

“Memang berlaku runtuhan dipuncak Gunung Condong Geliting dan ia menyebabkan berlakunya halangan air, tetapi kita tidak pasti berapa lama air tersebut tersekat.

“Kejadian itu menyebabkan halangan daripada runtuhan tersebut pecah pada petang Jumaat (23 Ogos) dan menjadikan peristiwa kepala air berlaku di di Sungai Geliting dan Sungai Slim,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.

Gambar suasana di puncak Gunung Condong Geliting yang dikongsi pendaki.
Gambar suasana di puncak Gunung Condong Geliting yang dikongsi pendaki.

Menurut Mohd Sabli, perkara tersebut dikukuhkan lagi apabila terdapat sebuah kumpulan pendaki yang diberi kebenaran mendaki Gunung Condong Gelinting berkongsi gambar runtuhan tebing yang berlaku di puncak tersebut.

“Gambar yang diberikan dengan jelas menunjukkan berlakunya tanah runtuh di atas sana dan kemudian ia menghanyutkan pokok serta sampah-sampah yang kita dapati berlakunya kepala air.

“Jadi apa yang kita lihat semasa hari kejadian termasuklah yang terkumpul di jambatan yang roboh adalah pokok-pokok mati daripada sisa runtuhan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, tinjauan daripada beberapa agensi seperti Jabatan Perhutanan Perak, Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) juga mengesahkan tiada sebarang pembalakan seperti didakwa segelintir pihak.

Temubual Pegawai Daerah Muallim, Mohd Sabli Bakri. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 SEPTEMBER 2024.

“Jika kita lihat dengan mata kasar pada 23 Ogos itu memang kita nampak pokok balak tetapi ia bukan dari pembalakan, ia adalah sampah pokok mati dipercayai daripada aktiviti pertanian kecil penduduk kampung.

“Bila berlaku kepala air semua dia bawa turun termasuklah tiga jambatan yang roboh bersama binaan muka sauk yang terkumpul di Jambatan Lama Sungai Slim yang turut roboh,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Sabli berkata, kesemua mangsa daripa 34 buah rumah yang terjejas telah pulang ke kediaman masing-masing pada 28 Ogos lalu.

Beliau berkata, segala bantuan yang diberikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Kerajaan Negeri Perak dan kerjasama agensi, jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat membantu mangsa yang terlibat.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Perak yang secara peribadi turun sendiri melihat keadaan yang berlaku di Ulu Slim ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meninjau mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Pasir Sungai Muda, Slim River. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 OGOS 2024.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meninjau mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Pasir Sungai Muda, Slim River. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 OGOS 2024.

“Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di empat buah kampung terlibat iaitu, Kampung Pasir, Kampung Lintah Piung, Kampung Sungai Bil dan Kampung Kuala Bil,” katanya.

Mohd Sabli turut menyuarakan harapan agar kerja-kerja pemasangan jambatan Bailey menghubungkan Jalan Slim River-Behrang Hulu dapat disiapkan dengan segera oleh Jabatan Kerja Raja (JKR).

MG Perak pada 24 Ogos lalu melaporkan seramai 175 individu melibatkan 42 keluarga terjejas dalam kejadian kepala air di Slim Village, Slim River.

Insiden tersebut turut memusnahkan muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting, Jambatan Lama Sungai Slim, Jambatan Kampung Pasir dan Jambatan Kampung Sungai Muda. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

109 terperangkap, tiga jambatan runtuh akibat empangan pecah

Aktiviti pertanian mungkin penyebab kepala air di Slim River

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI