IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengenal pasti 21 ‘hotspot’ yang berisiko berlaku insiden kepala air di negeri ini melibatkan lima daerah.
Lokasi tersebut adalah Lata Kekabu; kawasan perkelahan Air Berok dan Air Terjun Lawin Selatan (Hulu Perak); Air Terjun, Bukit Jana; Burmese Pool, Bukit Larut; Lata Air Hitam dan Lata Sempeneh (Larut Matang dan Selama); Hutan Lipur Ulu Kenas; Air Terjun Batu Hampar dan Air Terjun Lata Perahu (Kuala Kangsar).
Kawasan lain yang turut terlibat adalah, Kilometer (KM) 28 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland (Gunung Suku); Pusat Rekreasi Lubuk Timah; Kledang Saiong; Kampung Kota Raja; Lata Ulu Chepor; Air Terjun Lata Peyel; Ulu Geruntum dan Sungai Jahang (Kinta); Air Terjun Batu Berangkai; Air Terjun Sungai Salu dan Sungai Sahom, Kuala Dipang (Kampar).
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, selain lokasi insiden kepala air, pihaknya turut mengenal pasti 302 kawasan titik panas bencana banjir melibatkan kesemua daerah di negeri ini.
Menurutnya, antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Batu 7, 8 dan 9 (Hilir Perak); Padang Serai (Manjung); Kampung Jelutong (Larut Matang dan Selama); Changkat Lobak (Kerian); Kampung Sungai Tiang (Bagan Datuk); Kampung Sumpitan (Hulu Perak) dan Kampung Kolam (Kuala Kangsar).
“Kita sentiasa bersiap siaga khususnya dari segi keanggotaan dan logisitik dalam menghadapi insiden kepala air serta bencana banjir yang berlaku di Perak terutamanya memandangkan negara kini berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya.
“Bahagian kejuruteraan dan operasi juga sentiasa menguji serta meneliti tahap penggunaan seperti bot, kenderaan utiliti dan peralatan menyelamat selain pasukan khas menyelamat sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan September 2024 JBPM Perak di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Sayani berkata, aktiviti di air lazimnya akan meningkat terutamanya pada musim cuti sekolah atau cuti umum yang panjang khususnya di kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Berikutan itu, kita menjalankan aktiviti memberi khidmat nasihat ke tempat-tempat rekreasi ini. Setiap minggu terutamanya pada hari Sabtu dan Ahad anggota bomba akan turun ke lokasi-lokasi hotspot memberi untuk memberi penerangan pada orang awam.
“Kita akan mengedarkan risalah berkaitan aktiviti keselamatan di air serta memberi khidmat nasihat kepada orang awam dari semasa ke semasa sebagai persediaan awal.
“Orang awam juga boleh menggunakan Life Saving Appliances (LiSA) sebagai langkah tambahan keselamatan yang disediakan di lapan lokasi titik panas ini. Peti ini mengandungi peralatan seperti pelampung, jaket keselamatan, ‘throw bag rope’ selain dilengkapi dengan siren,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bomba ambil masa 15 minit potong cincin tersekat di kemaluan