IPOH – Walaupun tidak mempunyai kaitan, namun premis farmasi yang menggunakan nama perniagaan serupa didakwa terkesan susulan isu yang melanda Global Ikhwan Services & Business Berhad Holdings (GISBH) ketika ini.
Tinjauan pemberita di kawasan lot kedai di sebuah kawasan perumahan di Gunung Rapat, dekat sini pada Jumaat mendapati farmasi berkenaan berada sebaris dengan tiga premis perniagaan milik GISBH.
Kakitangan farmasi yang enggan dikenali memberitahu, mereka terpaksa menampal notis pemberitahuan pada pintu hadapan selepas mendakwa kurang menerima kehadiran pelanggan sejak akhir-akhir ini.
“Kami adalah entiti sendiri yang tidak ada mempunyai sebarang kaitan dengan GISBH. Farmasi kami telah beroperasi secara sendirian sejak tahun 2003, sementara syarikat itu ditubuhkan pada tahun 2013.
“Disebabkan itu, kami baru sahaja meletakkan notis hari ini di pintu hadapan agar ia dapat memberi penjelasan sebenar dan mengelakkan kekeliruan orang ramai terhadap farmasi kami,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Dakwanya lagi, kekurangan pelanggan ke premisnya dilihat ketara selepas isu yang membabitkan GISBH mula tular dan dilaporkan media.
“Mungkin orang ingat farmasi kami ini mempunyai kaitan dengan entiti GISBH oleh kerana nama perniagaan kami sama dengan perniagaan mereka, sedangkan itu tidak betul.
“Dalam soal nama perniagaan, mungkin ia secara kebetulan. Kami lebih awal bertapak buka perniagaan di sini berbanding mereka,” katanya lagi.
Sementara itu, tinjauan pemberita di lokasi, terdapat restoran, kedai pastri dan kedai runcit yang dimiliki GISBH.
Hasil tinjauan di restoran lebih daripada sejam pula mendapati, premis berkenaan kurang menerima kehadiran pelanggan, walaupun lazimnya premis makanan lain mula dibanjiri orang ramai untuk makan malam.
Pekerja premis yang enggan dikenali memberitahu, restoran berkenaan turut menerima kesan selepas beberapa isu berhubung syarikat itu mula tular di media sosial.
Malah dakwanya, ada beberapa pelanggan tetap sudah mula tidak mengunjungi restoran berkenaan sejak beberapa minggu yang lalu.
“Daripada sudut kehadiran pelanggan, memang ada kesan disebabkan benda itu (isu yang dikaitkan dengan GISBH)
“Dakwaan yang tular itu salah sebenarnya, mungkin sebab (ada pihak yang) dengki atau tidak senang tengok orang (GISBH) sudah berjaya.
“Selalu ramai orang datang (ke restoran kami ini) namun sudah masuk minggu kedua (ramai pelanggan) tidak datang. Tengoklah bagaimana situasi pada Sabtu dan Ahad ini nanti,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan premis perniagaan milik GISBH di beberapa negeri lengang selepas isu melibatkan salah laku jenayah didakwa melanda syarikat berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: