IPOH – Seorang pesara bank kerugian lebih RM1.4 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita warga emas berusia 65 tahun yang telah diperdaya oleh sindiket berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati ketika mangsa berada di rumahnya di Taiping, dia telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai SKMM pada jam 5.14 petang, 11 Ogos lalu.
“Suspek terbabit memberitahu mangsa bahawa kad bank mangsa terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram. .
“Kemudian, panggilan mangsa disambungkan kepada suspek lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan untuk menyelesaikan kes tersebut kononnya kes tersebut dalam siasatan pihak polis.
“Susulan panggilan tersebut, mangsa telah dihubungi beberapa individu lain yang mengaku diri mereka sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu berpangkat Asisten Superintendan.
“Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa untuk membuka akaun di tiga bank berasingan untuk tujuan pindahan wang mangsa ke akaun sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa kemudian diarahkan untuk meninggalkan kad mesin juruwang automatik (ATM) bank miliknya itu yang diisi dalam sampul surat di atas rumput di alamat seperti diarahkan suspek.
“Tujuan arahan itu diberikan adalah supaya suspek dapat mengeluarkan wang dari akaunnya dan berjanji akan mengembalikannya setelah siasatan selesai.
“Selepas itu, mangsa ada menerima mesej pengeluaran wang dari akaun bank miliknya bermula dari 23 Ogos hingga 11 September lalu.
“Mangsa kemudiannya membuat semakan menerusi penyata bank di ketiga-tiga akaun miliknya dan mengalami kerugian sebanyak RM1,440,969.83,” ujarnya.
Berikutan itu, Azizi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: