Ahli GISBH beristeri tiga mengaku tak bersalah ugut wanita

PUTRAJAYA – Seorang ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan melakukan ugutan jenayah ke atas seorang wanita pada awal bulan ini.

Tertuduh, Mohamad Riza Makar, 39, seorang peniaga yang beristeri tiga dan juga mempunyai 10 orang anak membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hasan pagi tadi.

Tertuduh tiba ke mahkamah majistret sekitar pukul 8.40 pagi dengan berpakaian berseluar hitam dan berjaket warna coklat dengan menutup muka dan kepala dan terus berjalan laju masuk galeri mahkamah ketika dikejar pengamal media untuk merakam kemunculannya.

Mengikut kertas fakta pertuduhan, tertuduh yang juga seorang peniaga itu didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita berusia 25 tahun dengan mengeluarkan kata-kata “Kita tunggu..kami tahu dekat mana rumah, suami dan keluarga”.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada mangsa yang enggan menarik balik laporan polis dibuatnya.

Mohamad Riza didakwa melakukan kesalahan itu pada 9 September 2024 lebih kurang pukul 10 malam di tempat letak kenderaan Galeria di Presint 4, Putrajaya.

Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan hyang memperuntuk hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Zulfikri Ulul Azmin.

Mohd Sabri mencadangkan wang jaminan RM30,000 dengan dua orang penjamin bersama syarat tambahan iaitu tidak mendekati, menghubungi pengadu dan pasport hendak diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di balai polis berhampiran.

Bagaimanapun, Zulfikri merayu mahkamah agar menetapkan suatu wang jaminan pada kadar munasabah sambil berhujah kes berkenaan hanyalah satu tuduhan ringan dan bukan jenayah serius.

“Kes ini adalah ringan dan bukannya berat selain itu sekadar ugutan bukan bunuh atau mahu cederakan pengadu. Nilai wang jaminan yang dicadangkan TPR adalah amat tinggi dan di luar kemampuan OKT (Orang Kena Tuduh).

“Malah anak guam seorang yang bekerja sendiri dan berpendapatan RM4,000 serta dia mempunyai tiga isteri dan 10 orang anak yang perlu ditanggung.

“Lagi pun, kes ini juga tiada kaitan dengan kes GISBH, tertuduh juga tiada kepentingan tetapi mempunyai rangkaian perniagaan dengan firma tersebut.

“Oleh demikian saya memohon budi bicara mahkamah menetapkan satu nilai wang jaminan yang rendah dan munasabah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sabri yang berbalas hujah berkata, kertas pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh menggambarkan ugutan yang memberi kesan kepada fikiran pengadu.

“Apabila pengadu enggan menarik balik laporan polis itu, OKT mengugut pengadu. Lagi pun kenyataan OKT tiada kaitan dengan GISBH itu adalah bertentangan dengan rakaman percakapan tertuduh ketika siasatan polis yang mana didapati OKT adalah ahli GISBH.

“Oleh demikian mohon mahkamah mempertimbangkan nilai jaminan yang dicadangkan sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, tertuduh yang dibenarkan merayu meminta mahkamah supaya mengurangkan wang jaminannya kerana isterinya baru melahirkan anak.

“Mohon kebijaksanaan Yang Arif mengurangkan wang jaminan sebab isteri saya baru melahirkan anak dan belum sempat untuk mendaftarkan anak serta saya juga perlu melihat keperluan anak-anak kerana cuti sekolah bermula dan belum sempat menyiapkan duit untuk persiapan sekolah mereka,” rayunya.

Ahmad Afiq yang mendengar hujah kedua-dua pihak membenarkan tertuduh dijamin dengan wang RM10,000 dengan seorang penjamin dan mensyaratkan tertuduh tidak boleh mengganggu, menghampiri dan menghubungi pengadu sepanjang perbicaraan kes berlangsung selain dikehendaki lapor diri pada minggu pertama setiap bulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah turut menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI