PTPTN: 430,000 tak bayar balik pinjaman mungkin kena tindakan undang-undang

LUMUT – Kira-kira 430,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak pernah membuat bayaran balik sehingga kini berkemungkinan akan berdepan tindakan undang-undang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mereka yang gagal dikesan itu sepatutnya mula membuat pembayaran balik pinjaman berjumlah hampir RM6 bilion.

Katanya, perkara yang telah dibincangkan secara mendalam dengan semua pihak termasuk di peringkat Jemaah Menteri itu akan diumumkan kelak oleh pihak PTPTN.

430,000 tak bayar balik PTPTN mungkin kena tindakan undang-undang peminjam bayaran balik Zambry
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Ritz Garden Hotel Manjung. Turut sama, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 SEPTEMBER 2024.

“(RM6 billion) merupakan satu jumlah yang sangat besar kepada negara. Wang bayaran balik itu bukan untuk kegunaan kerajaan, sebaliknya kita hendak salurkan kembali kepada pelajar akan datang.

“Justeru, saya harap mereka yang selama ini tidak peduli (untuk bayar balik pinjaman PTPTN) untuk kembali kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN di Hotel Ritz Garden Manjung, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid serta Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak Andi Nurali Mohamed.

Seramai 185 pelajar dari Lumut yang akan memasuki ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada Oktober depan menerima WPP RM1,500 setiap seorang, sementara 30 pelajar dari Beruas menerima WPP jumlah sama.

430,000 tak bayar balik PTPTN mungkin kena tindakan undang-undang peminjam bayaran balik Zambry
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyerahkan replika cek kepada Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Ritz Garden Hotel Manjung. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 SEPTEMBER 2024.

Tambah Zambry, walaupun tidak menolak kemungkinan tindakan perundangan akan diambil, namun tegas beliau PTPTN masih mengamalkan konsep berhemah supaya mereka dapat memulakan pembayaran balik pinjaman tabung pendidikan dalam tempoh segera.

Ujar beliau, PTPTN bersedia dengan tangan terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan yang terbabit serta mengambil tindakan perlu termasuk dalam soal penstrukturan semula bayaran.

430,000 tak bayar balik PTPTN mungkin kena tindakan undang-undang peminjam bayaran balik Zambry
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berucap pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Ritz Garden Hotel Manjung. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 SEPTEMBER 2024.

“Oleh itu saya mahu mereka ini datang kepada kita untuk menceritakan tentang kekangan dihadapi (untuk pembayaran balik pinjaman PTPTN) sama ada dalam hal ekonomi dan sebagainya.

“Akan tetapi dalam kita berhemah, mereka juga perlu mempunyai tanggungjawab moral untuk dilaksanakan. Kita akan melihat apakah tindakan-tindakan seterusnya yang akan kita umumkan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Zambry memaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia bekerjasama dengan pihak Polis sekiranya pihak berkuasa itu mahu melakukan siasatan berhubung GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di semua institusi pengajian tinggi.

“Itu dalam bidang kuasa polis yang mana mereka telah membuat satu pasukan siasatan dalam melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PTPTN Cawangan Taiping berwajah baharu, beri perkhidmatan terbaik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI