LUMUT – Seramai 26,534 pelajar yang akan melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) pada Oktober ini menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) bernilai RM1,500 setiap seorang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pemberian WPP daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mereka yang layak itu melibatkan peruntukan sebanyak RM39.8 juta.
Katanya, inisiatif itu bertujuan menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar untuk memasuki IPTA sama ada ke Universiti Awam mahupun Politeknik yang sekali gus menjaga kebajikan pelajar.
“Tanggungjawab kita di peringkat kerajaan dan PTPTN adalah untuk memastikan supaya semua pelajar yang menerima tawaran ke IPTA itu dapat melanjutkan pengajian mereka.
“Oleh sebab itu, kita perkenalkan inisiatif WPP yang mana ia bukan perkara baharu. Namun saya tegaskan bahawa kita tidak akan membiarkan mereka ini daripada terlepas peluang untuk ke IPTA (disebabkan kekangan kewangan),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN di Hotel Ritz Garden Manjung, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid serta Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak Andi Nurali Mohamed.
Seramai 185 pelajar dari Lumut yang akan memasuki IPTA pada sesi Oktober depan menerima WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM277,500, sementara RM45,000 WPP diperuntukkan kepada 30 pelajar dari Beruas.
Angka itu merupakan sebahagian 2,287 orang pelajar di Negeri Perak yang ditawarkan WPP dengan membabitkan peruntukan bernilai RM3.43 juta, bagi sesi pengajian sama.
WPP diberikan kepada para pelajar warganegara yang telah memberikan persetujuan menerima inisiatif itu semasa membuat permohonan kemasukan IPTA pada laman sesawang UPU Online atau melalui portal kemasukan IPTA.
Selain itu, antara kriteria penerima ditetapkan adalah ibu bapa atau penjaga pelajar yang tersenarai sebagai penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Pelajar pula boleh membuat semakan tawaran WPP mulai 24 September melalui aplikasi myPTPTN dan menebus wang berkenaan di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) seluruh negara.
Pelajar hanya perlu membawa bersama cetakan surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar, sementara tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan iaitu mulai 24 September ini hingga 23 November nanti.
Pada masa yang sama, PTPTN komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta telah membantu ramai pelajar melanjutkan pengajian ke IPTA melalui pelaksanaan WPP.
Semenjak dilaksanakan pada tahun 1999, inisiatif WPP telah memberi manfaat kepada 980,120 pelajar dengan peruntukan berjumlah RM1.45 bilion.
Sementara itu, para pelajar yang ditemui menzahirkan penghargaan kepada PTPTN dalam usaha meringankan beban mereka menghadapi persiapan ke IPTA melalui pelaksanaan WPP, selari dengan moto ‘ Inilah peluang kejayaan anda’.
Ahmad Izham Kamarulizam, 22, yang bakal menyambung pengajian dalam bidang Pentadbiran Perniagaan pengkhususan Kewangan Islam di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyambut baik usaha yang digerakkan PTPTN itu.
“Proses untuk memohon WPP ini sangat mudah yang mana saya telah membuat permohonan melalui UPU Online.
“Jika hendak tunggu wang bantuan biasiswa lain adakalanya perlu menunggu tempoh masa lama. Oleh itu, melalui WPP, ia membantu meringankan beban saya. Terima kasih PTPTN,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi Eliza Ling Zhin Yee, 20, yang akan melanjutkan pengajian dalam Program Sains Forensik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Katanya, WPP sebanyak RM1,500 yang diterimanya akan digunakan untuk membayar yuran pengajian serta barang keperluan lain sebagai persiapan ke universiti.
“Terima kasih PTPTN kerana mengadakan acara penyerahan WPP seperti ini. Sebagai pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan B40, usaha ini sangat membantu meringankan keluarga saya,” ujarnya.
Bakal penuntut Ijazah Sarjana Muda Perniagaan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, KM Saranya, 20, akan memperuntukkan inisiatif WPP bagi mendapatkan komputer riba bagi tujuan pengajian.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada PTPTN kerana WPP sebanyak RM1,500 benar-benar meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan.
“Ia membantu bakal mahasiswa seperti saya untuk menggapai impian untuk sampai ke menara gading,” katanya anak bongsu dari tiga beradik itu.
Sebarang maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN boleh diperoleh melalui aplikasi myPTPTN atau laman rasmi http://www.ptptn.gov.my. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: WPP PTPTN Beri Peluang Lebih 26,000 Lanjut Pengajian Ke IPTA