86 murid SK Chepor keracunan makanan selepas cirit birit, muntah

IPOH – Seramai 86 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor di sini, dilaporkan mengalami simptom keracunan makanan selepas muntah dan cirit-birit pada Selasa.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, salah seorang daripada mangsa turut dimasukan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) ekoran insiden berkenaan.

Menurut beliau, berdasarkan laporan diterima dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara, kejadian difahamkan berlaku bermula jam 10.50 pagi pada Selasa melibatkan pelajar sesi pagi dan petang.

“Berdasarkan laporan yang diterima, ada beberapa makanan yang dikhuatiri tercemar iaitu milo ais, mee kari dan kari ayam.

“Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan membuat pemeriksaan dan sebagainya cuma laporan awalnya memang ada kes keracunan makanan dan pihak PPD Kinta Utara telahpun mengarahkan pengurusan sekolah untuk membuat laporan,” katanya.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah menyampaikan bantuan zakat kepada pelajar pada Majlis Penutup PUO Open Day & Food Festival 2024 di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 SEPTEMBER 2024.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Penutup Hari Terbuka Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Festival Makanan 2024 di Dewan Jubli Perak, PUO di sini, pada Rabu.

Khairudin berkata, sebahagian murid yang mengalami simptom keracunan makanan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan klinik swasta manakala seorang murid pendidikan khas terpaksa ditahan di HRPB untuk pemantauan.

“Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kinta sudah pun datang ke sekolah berkenaan bagi membuat pemeriksaan dan mengambil sampel berkaitan kejadian tersebut jam 11 pagi tadi.

“Sebarang keputusan lanjut bergantung kepada siasatan daripada pejabat kesihatan berkenaan dan saya telah minta pihak sekolah mengemukakan laporan mengikut prosedur ditetapkan iaitu pada hari pertama, ketiga dan ketujuh,” katanya.

Jelasnya, laporan itu perlu dihantar secara berkala oleh pihak pentadbiran sekolah kepada PPD Kinta Utara. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

JKN Perak terima 62 kes keracunan makanan MRSM Taiping

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI