Kastam Perak rampas rokok, minuman keras, petrol lebih RM500,000

IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, merampas rokok, minuman keras serta petrol yang dianggarkan bernilai RM639,579 dalam beberapa serbuan sepanjang Ogos dan September tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, sitaan terbesar melibatkan 387,788 batang rokok dan 2,273.53 liter minuman keras dengan anggaran nilai termasuk cukai berjumlah RM410,008.

Menurutnya, modus operandi yang dilakukan ialah memiliki dan menjual rokok serta minuman keras yang tidak mempunyai duti cukai di premis perniagaan.

“Rampasan rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki barang larangan itu adalah hasil operasi yang diadakan sepanjang bulan Ogos dan September 2024 di sekitar negeri Perak.

“Nilai dagangan dianggarkan 387,788 batang pelbagai jenama rokok membabitkan duti sebanyak RM 318,406.33 dan 2,273.53 liter pelbagai jenama minuman keras berduti sebanyak RM91,601.95.

“Seramai 13 lelaki dan seorang wanita ditahan sepanjang operasi tersebut dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, dalam kes berasingan beliau berkata pihaknya merampas 3.3 kilogram dadah yang dianggarkan bernilai RM13,331 di dua pejabat pos di Ipoh disyaki untuk diedarkan kepada pelanggan.

“Modus operandi yang digunakan melalui kaedah pos atau kurier sebagai mod penghantaran atau pengedaran.

“Susulan operasi itu, dua lelaki ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Tambahnya, seorang wanita turut ditahan ketika cuba menyeludup petrol yang bernilai RM210 di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu pada 18 September lalu.

“Wanita berkenaan ditahan kerana cuba menyeludup minyak petrol bersubsidi ke negara jiran dengan mengubah suai tangki minyak kenderaan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kes kontena terbang: SPRM tahan pegawai kastam, ejen penghantaran

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI