Belanjawan 2025: Projek pemindahan air Sungai Perak, cari gali mineral

IPOH – Kerajaan negeri Perak memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan pada Belanjawan 2025 ini bagi projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian yang dijangka bermula pada tahun hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani berkata, walaupun sebelum ini kerajaan Persekutuan menganggarkan perbelanjaan projek itu RM4 bilion namun ia tidak akan diberikan sekali gus.

“Wish list (senarai projek) itu panjang dan kita memahami masalah kewangan negara tetapi antara keutamaan kita termasuk memulakan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Bukit Merah. Itu di antaranya (senarai projek).

“Walaupun lulus RM4 bilion, tetapi bukan bagi semua (sekali gus), ia akan diberi secara berperingkat. Ini (projek) kena mula tahun hadapan,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Hari Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri Perak 2024 dan penyempurnaan Program Naik Taraf Muzium Darul Ridzuan Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi.

Belanjawan 2025: Projek pemindahan air Sungai Perak, cari gali mineral
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan pingat dan mock cheque kepada pemenang pada Majlis Perasmian Penutup Hari Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Perak 2024 dan penyempurnaan Program Naik Taraf Muzium Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Turut serta Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 OKTOBER 2024.

Dalam pada itu, Saarani turut meminta peruntukan untuk memperhebatkan lagi usaha mencari gali bahan mineral melibatkan perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

“Kita sudah tubuhkan Terra Mineral Lab Sdn Bhd. Makmal itu fungsinya untuk menentusahkan apa jenis mineral yang ada di Perak.

“Jadi kita perlukan dana supaya JMG (Jabatan Mineral dan Geosains) memulakan untuk mencari gali dan menentusahkan (sumber mineral),“ jelasnya.

Ujar Saarani, kerajaan negeri turut memohon peruntukan untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan di negeri ini dan projek tebatan banjir.

“Tak lupa tentang projek tebatan banjir. Ini adalah peruntukan paling besar kerana ia berlaku setiap masa dan memberi kerugian besar kepada negeri dan orang ramai,“ ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan nilai anggaran peruntukan yang dimohon daripada kerajaan Persekutuan namun jumlahnya lebih besar dari Belanjawan 2024.

“Semua itu kita (pemohonan peruntukan) dah hantar melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

“Esok petang sebelum PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) berangkat pulang, saya akan berjumpa dengan beliau secara peribadi untuk menyatakan permohonan ini,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Keputusan tambah baik struktur gaji penjawat awam dijangka diumum Belanjawan 2025

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI