Beri ruang tambahan latih guru kuasai Bahasa Tamil, Cina – Anwar

SUNGAI SIPUT – Kerajaan bersetuju terhadap cadangan memberikan ruang tambahan terhadap institusi latihan perguruan untuk melatih bakal guru dengan penguasaan bahasa Mandarin dan Tamil, selain daripada Bahasa Kebangsaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan yang turut dipersetujui Kementerian Pendidikan itu juga bagi membolehkan lebih ramai guru dapat dihantar ke sekolah-sekolah yang memerlukan.

Kerajaan anwar guru bahasa melayu cina mandarin tamil perdana menteri bahasa kebangsaan sekolah mutu pendidikan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Heawood di Sungai Siput (U).
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 OKTOBER 2024.

Katanya, tumpuan kerajaan adalah mahu memastikan mutu pendidikan di sekolah kebangsaan mahupun sekolah vernakular dapat dipertingkatkan.

“Juga kita putuskan di beberapa sekolah kebangsaan, di mana anak-anak India yang memilih untuk menguasai bahasa Tamil atau anak-anak Cina di sekolah menengah kebangsaan itu harus kita pastikan ia dapat ditingkatkan. Ini dasar yang tidak bercanggah dengan dasar negara kita.

“Sebab itu saya katakan biar ada komitmen jelas dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, serta dalam soal Bahasa Kebangsaan.

“Kemudian sambutan dari kementerian dan kerajaan supaya anak-anak atau ibu bapa yang memilih untuk anak-anak boleh belajar Bahasa Tamil, di peringkat sekolah menengah harus diberikan ruang satu kelas (kelas khusus),” katanya.

Kerajaan anwar guru bahasa melayu cina mandarin tamil perdana menteri bahasa kebangsaan sekolah mutu pendidikan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Heawood di Sungai Siput (U). Foto ABDULLAH YUSOF, 06 OKTOBER 2024.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Heawood, dekat sini pada Ahad.

Antara hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Pada masa sama, Anwar juga mengingatkan semua guru khususnya di Sekolah Vernakular untuk tidak meminggirkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, di samping meningkatkan mutu bahasa ibunda sebagai memenuhi kehendak semasa.

“Saya ingatkan guru-guru di sekolah Tamil atau Cina jangan merasakan penguasaan bahasa (Bahasa Melayu) itu tidak penting. Kita di Malaysia, kita nak semua boleh berkomunikasi dengan baik antara satu dengan lain. Kita sudah sepakati selepas kemerdekaan, guna bahasa kebangsaan.

“Di samping itu kita juga sepakat tingkatkan mutu penguasaan (bahasa ibunda lain). Apa ruginya kalau kita kuasai (bahasa lain kerana) ramai orang kuasai bahasa Tamil, dan Cina.

“Bagi kita ia menguntungkan negara dan menghormati hak masing-masing bagi rakyat memilih untuk menguasai bahasa ibunda mereka. Dan ini prinsip kita dan saya hal ini tidak perlu banyak dibincangkan tapi cuba dilaksanakan,” katanya.

Kerajaan anwar guru bahasa melayu cina mandarin tamil perdana menteri bahasa kebangsaan sekolah mutu pendidikan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Heawood di Sungai Siput (U). Foto ABDULLAH YUSOF, 06 OKTOBER 2024.

Selain itu Anwar berkata, kerajaan ketika ini bersifat terbuka dengan sebarang pandangan daripada mana-mana persatuan masyarakat Cina dan India berhubung usaha meningkatkan mutu pendidikan negara.

Namun Perdana Menteri menegaskan, cadangan yang dikemukakan harus dengan baik dan tidak terlalu terbawa dengan sentimen pihak yang melampau.

“Kalau nak melampau, dan sekarang ini (jika) kita layan, ada Melayu, Cina, India yang melampau, kita benarkan orang-orang ini, naik hancur negara kita.

“Sebab itu, kita mesti ambil jalur tengah. Ada perselisihan, bincang dengan baik, dan gunakan ruang supaya berikan pandangan,” ujarnya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Anwar tegur golongan elit jangan taksub dengan bahasa Inggeris

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI