SUNGAI SIPUT – Sekolah harus terus menjadi tempat untuk menyemai nilai pendidikan dengan semangat kebangsaan dan perpaduan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sekolah juga harus menjadi institusi yang memelihara budaya dan warisan kebangsaan demi membina generasi masa depan yang seimbang selain menerapkan rasa cinta pada negara.
Katanya, walaupun arena pendidikan negara sentiasa berdepan pelbagai cabaran bersilih ganti, namun semangat untuk terus memperkasa pendidikan tetap utuh.
“Kita percaya bahawa pendidikan adalah kunci kepada kemajuan, bukan sahaja untuk individu, tetapi juga untuk masyarakat dan negara.
“Sebagai bekas guru, saya selalu percaya sekolah tetap memainkan peranan penting dalam membentuk atau mengubah masa depan negara.
“Dengan sokongan kerajaan dan usaha gigih para pendidik, kita yakin bahawa walau apa jua rintangan yang dihadapi, sistem pendidikan kita akan terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Heawood, dekat sini pada Ahad.
Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Selain itu Saarani berkata, melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan, beliau yakin pendidikan di Malaysia akan terus berkembang dan menyediakan ruang bagi setiap individu untuk mencapai potensi yang sebenar.
Ujar beliau, pengukuhan aspek kemahiran melalui program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) terus diberi perhatian merentasi portfolio kementerian juga merupakan perkara yang positif.
“Ketika ini, anak muda didedahkan kepada bidang teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, dan ekonomi digital.
“Langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuh keupayaan teknikal dan profesional golongan muda, tetapi juga memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran dunia yang dipacu oleh teknologi.
“Usaha ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk membina generasi masa depan yang lebih kompetitif di peringkat global,” katanya lagi.
Di samping itu Saarani berkata, Kerajaan Negeri Perak turut bersungguh-sungguh dalam membina masa depan yang cerah kepada golongan muda.
“Bukan sahaja memperkasa sekolah sebagai instrumen terpenting pendidikan, tetapi kita mempersiapkan mereka dengan latihan dan kemahiran yang mencukupi.
“Kita mahu menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Negara supaya kita dapat mempersiapkan anak-anak dengan kemahiran berkualiti,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Beri ruang tambahan latih guru kuasai Bahasa Tamil, Cina – Anwar