Perak bincang dengan pengusaha hotel isu daftar masuk jam 4 petang

IPOH – Kerajaan negeri Perak setakat ini tidak menetapkan sebarang syarat atau peraturan berhubung penetapan masa daftar masuk dan keluar bagi hotel atau inap desa di sekitar negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, bagi menyelesaikan isu tersebut kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan persatuan hotel untuk melihat sama ada terdapat keperluan untuk menetapkan masa standard bagi daftar masuk dan keluar untuk premis berkenaan.

Menurutnya, perkara itu perlu dibincangkan supaya ia tidak memberi impak terhadap kemasukan pelancong ke Perak.

“Walaupun kerajaan negeri telah meluluskan Enakmen Hotel Perak 2023 pada tahun lalu, ia hanya memfokuskan kepada beberapa aspek antaranya keselamatan, kebersihan dan pengoperasian namun tidak termasuk penetapan waktu operasi daftar masuk dan keluar premis tersebut.

“Kalau waktu untuk operasi (daftar masuk dan keluar), memang kerajaan (negeri) setakat ini tak ada menetapkan apa-apa syarat sebab ia bergantung pada pengusaha (hotel) sama macam restoran.

“Waktu mereka (pengusaha hotel) nak buka dan tutup itu masing-masing punya strategi dan ‘positioning’. Jadi, memang dalam hal ini kerajaan negeri tak ada apa-apa peraturan ataupun yang kita tetapkan.

“Cuma apabila ia menjadi satu isu dalam kalangan pengguna, mungkin ini bergantung kepada pengusaha juga sebab kalau dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan penginapan, mereka perlu memenuhi keperluan daripada pengguna.

“Dari segi itu, kerajaan negeri boleh ada perbincangan dengan persatuan-persatuan tersebut supaya ada satu konsensus untuk lihat balik isu ini dan kita boleh buat satu keputusan bersama untuk tetapkan masa daftar keluar dan masuk tempat penginapan tersebut,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perak Pawsitive Initiative- Program Pemandulan Kucing Bersubsidi@Tanjong Malim, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Yang Dipertua MDTM, Mohd Ikram Ahmad dan wakil Klinik Haiwan dan Surgeri Tanjung Malim, Dr Nurul Ashikin Sapian.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat sesetengah hotel yang bertindak waktu daftar masuk ke premis mereka bermula jam 4 petang dan perlu keluar pada jam 11 pagi.

Tindakan itu rata-rata mencetuskan perbincangan dalam kalangan warga maya yang berasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pengunjung menginap di Perak dikenakan caj RM3 tahun depan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI