TANJUNG MALIM – Penduduk di Kampung Kuala Slim, Slim River dekat sini, tidak menyangka cuaca hujan lebat berpanjangan di situ kembali membawa kepada situasi bah dan banjir genang, pada Isnin.
Werdawati Mohd Zaini , 40, berkata, situasi hampir sama pernah dihadapi kira-kira tiga tahun lalu sebelum keluarganya membuat keputusan untuk membina parit berhampiran rumah bagi mengelak kejadian banjir berulang.
“Sejak kami membina parit di sekeliling rumah, kejadian banjir tidak lagi melanda kawasan rumah. Namun kejadian pada awal pagi Isnin adalah kedua paling teruk.
“Paras air pun naik sampai ke paras dada. Ditambah pula keadaan ayah saya yang kurang sihat, agak mencabar situasi banjir kali ini,” katanya ketika ditemui MG Perak di Kampung Kuala Slim, Slim River, pada Isnin.
Menurutnya lagi, keadaan hujan mula disedari sekitar tengah malam, namun ketika itu ia air masih belum naik dan keadaan seperti biasa.
Katanya, semasa hendak menghantar anak ke sekolah, dia terkejut selepas mendapati air banjir sudah mula naik di sekeliling rumah yang didiami tujuh beranak itu.
“Selain daripada mesin basuh, barang-barang kelengkapan dan peralatan elektrik lain di dapur kami tak dapat selamatkan. Memang saya tak sangka air banjir akan naik setinggi itu,” ujarnya.
Tambah Werdawati, lazimnya situasi banjir genang di rumahnya akan beransur pulih dalam tempoh dua hari, namun ia mungkin sebaliknya dan berlarutan sekiranya cuaca hujan.
Jelasnya lagi, ia menambahkan kebimbangannya kerana menjangkakan sekiranya hujan lebat berterusan kembali berlaku, paras air banjir boleh melepasi lantai ruang tamu rumahnya.
Sementara itu, penduduk, Mat Yazid Mohd Ganti, 41, memberitahu situasi banjir yang melanda di Kampung Kuala Slim menjejaskan barang-barang elektrik pelangganya.
Dia yang mengambil upah membaiki barangan elektronik berkata, keadaan itu memberi kesan kepada mata pencariannya disamping terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan mencecah RM6,000.
“Dua kipas pelanggan saya terjejas dengan banjir, dan untuk itu saya terpaksa ambil tanggungjawab. Jika mereka tidak boleh terima (alasan keadaan banjir), saya terpaksa ganti dengan kipas baharu.
“Dan hari ini sepatutnya saya ada kerja di dua lokasi berhampiran, namun disebabkan banjir ini, saya tak boleh hendak buat apa-apa.
“Barang yang saya guna untuk kerja pun terjejas. Dan orang kata rezeki ini Allah yang bagi, disebabkan itu saya reda sahaja (dengan ujian yang melanda ini),” katanya.
Ujar Mat Yazid, keadaan banjir yang melanda kampung itu disifatkan sebagai berlaku terlalu pantas sehingga dia tidak dapat menyelamatkan beberapa barang-barang peribadi lain.
“Banjir naik mendadak, apabila dalam tempoh satu jam setengah, air sudah mula melepasi jalan raya di depan rumah.
“Saya memang tak sangka langsung ia jadi seperti ini, kerana pada awal pagi saya lihat tiada banjir walaupun hujan lebat. Ia kemudian naik dari sekaki ke sekaki,” katanya lagi.
Selain itu dia juga mendakwa, limpahan air dari Sungai Bernam, Sungai Slim dan Sungai Trolak menjadi punca kepada kejadian banjir di kampung berkenaan.
Setakat jam 10 malam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan berlaku pertambahan jumlah mangsa banjir di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan lima daerah iaitu dari 1,586 kepada 1,605 mangsa.
Di Daerah Muallim, sebanyak tiga PPS dibuka melibatkan PPS Dewan Kampung Batu 4, SK Kuala Slim dan SK Slim River.
Seramai 117 mangsa dari 28 keluarga ditempatkan di PPS SK Kuala Slim yang mula dibuka pada jam 8.30 pagi Isnin. – MG Perak
Artikel Berkaitan: