Saarani turun padang santuni mangsa banjir di Gerik, Sungai Siput

SUNGAI SIPUT – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini, turun padang  ke pusat pemindahan sementara (PPS) menyantuni mangsa banjir di daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar.

Beliau memulakan lawatan seawal jam 9 pagi ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pahit diikuti PPS SK Kerunai di Gerik serta meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni mangsa banjir melibatkan pelbagai lapisan usia di setiap lokasi tersebut.

Saarani kemudiannya meneruskan lawatan dengan singgah sebentar di Masjid Kampung Air Panas yang telah dimasuki air hingga menyebabkan kerosakan  besar kepada masjid berkenaan.

Beliau meneruskan lawatan ke SK Kenering yang turut terjejas akibat banjir yang menyebabkan bilik darjah, kantin, pusat sumber dan surau musnah secara keseluruhan.

Saarani turun padang santuni mangsa banjir di Gerik, Sungai Siput
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meninjau keadaan mangsa banjir di Daerah Sungai Siput yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pusat Hentian Setempat Perkampungan Orang Asli (OASC), Bawong, di Sungai Siput. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 15 OKTOBER 2024.

Usai di Gerik, Saarani ke Sungai Siput untuk melawat tiga PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lasah, SK Lasah dan mengakhiri lawatannya di Pusat Hentian Setempat Perkampungan Orang Asli (OASC) di Bawong.

Turut sama ketika lawatan di Sungai Siput adalah Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Sepanjang lawatan di kedua-dua daerah itu beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa yang tinggal di PPS.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Mohd Osman, 66, dari Kampung Lasah, di sini amat bersyukur kerana mempunyai Menteri Besar yang amat prihatin terhadap nasib rakyat.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana dia (Saarani) amat menitik berat pada kita walaupun dalam keadaan susah, senang dia ada bersama dengan kita.

“Bagi saya wang ringgit tiada kepentingan, kepentingan pada masyarakat itu penting dan bersyukur dapat Menteri Besar macam itu,” katanya ketika ditemui di PPS SK Lasah, pada Selasa.

Saarani turun padang santuni mangsa banjir di Gerik, Sungai Siput
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meninjau keadaan mangsa banjir di Daerah Sungai Siput yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pusat Hentian Setempat Perkampungan Orang Asli (OASC), Bawong, di Sungai Siput. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 15 OKTOBER 2024.

Mengimbas kembali detik cemas pada awal pagi Ahad lalu, Mohd berkata, air deras mengalir masuk ke rumah hanya sekelip mata sehingga dia bersama enam ahli keluarganya yang lain keluar sehelai sepinggang dari kediaman mereka.

Dia yang mengalami kecederaan serta tidak mampu bergerak sendiri selepas terjatuh kira-kira sebulan lalu berkata, semuanya berlaku dengan pantas.

“Masa kejadian saya bangun sekitar jam 3 pagi untuk buang air kecil. Kemudian, kali kedua bangun dalam 3.30 pagi, air dah masuk dalam rumah dan anak lelaki mula angkat barang letak atas meja.

Saarani turun padang santuni mangsa banjir di Gerik, Sungai Siput
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Exco Pembangungan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menyantuni mangsa banjir, Mohd Osman, 66, ketika melawat mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Lasah, di Sungai Siput. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 15 OKTOBER 2024.

“Bagaimanapun, ketika sedang cuba menyelamatkan barang air sudah paras pinggang dan saya sudah tidak boleh buat apa.

“Isteri selamatkan saya dan cuba keluar ikut pintu depan tapi tak boleh sebab laluan air dan air terlalu deras. Jadi kami lalu ikut jalan belakang dan menunggu bantuan di rumah jiran yang terletak di kawasan lebih tinggi,” katanya.

Menerusi bantuan ketua kampung, mereka sekeluarga berjaya diselamatkan dan dibawa menaiki bot serta ditempatkan di PPS berkenaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MB minta TNB maklum awal jika lepas air empangan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI