IPOH – Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa terhadap bencana banjir yang dijangka akan berlarutan sehingga akhir tahun ini.
Ini susulan banjir gelombang kedua yang berlaku di Sungai Siput pada Selasa lalu serta cuaca hujan yang tidak menentu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, fenomena banjir kali ini mirip 2014 namun pada ketika itu ia berlaku serentak.
Bagaimanapun, beliau berkata, kejadian banjir pada kali ini berlaku secara berulang-ulang di lokasi sama dan tempat baharu.
“Saya sudah baca laporan Met Malaysia (Jabatan Meterologi Malaysia) dan meminta semua orang supaya berwaspada sehingga hujung tahun.
“Justeru, semua Pegawai Daerah yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan semua jabatan terlibat termasuk ketua kampung kena ambil perhatian dan ingatkan anak buah masing-masing kerana ada penempatan penduduk berhampiran sungai.
“Hujan turun tak tentu dengan kadar yang sangat banyak dan masa yang panjang.
“Bukan Sungai Perak sahaja, anak sungai atau saliran termasuk dalam bandar juga perlu sentiasa berwaspada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak kali ke-48 Tahun 2024 di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengerusi PPN Perak, Datuk Sham Mat Sahat.
Setakat jam 8 pagi tadi, seramai 1,299 mangsa daripada 411 buah keluarga terkesan dengan banjir, dengan 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di lima daerah di Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Banjir Perak: Penduduk bimbang peristiwa 2014 berulang