Mangsa banjir di Perak meningkat 1,441 orang

IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak terus mencatatkan peningkatan setakat jam 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPM) Perak berkata, seramai 1,441 mangsa daripada 455 keluarga kini ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan lima daerah sekitar negeri ini.

Menurutnya, jumlah itu meningkat daripada 1,397 mangsa melibatkan 444 keluarga yang direkodkan pada jam 6 petang tadi.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman, Bagan Serai dalam daerah Kerian, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dan Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap dalam daerah Teluk Intan merekodkan pertambahan mangsa.

“Pertambahan jumlah mangsa dan keluarga turut direkodkan di PPS SK Dato’ Sagor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muzafar Shah 1 dalam daerah Perak Tengah,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan, PPS SK Lasah, Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong di Sungai Siput dan SMK Lasah dalam daerah Kuala Kangsar, kekal dengan jumlah mangsa yang sama.

“Jumlah mangsa dan keluarga PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang dalam daerah Perak Tengah serta PPS SK Kota Baharu dalam daerah Kampar masih kekal,” jelasnya.

Dalam kenyataan sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) berkata, ribut petir / hujan lebat akan melanda beberapa daerah di Perak iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah dan Kampar. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mangsa banjir di Perak terus meningkat

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI