Sultan Nazrin perkenan tunda Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024

IPOH – Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 bersempena sambutan Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dijadualkan pada 26 dan 27 Oktober terpaksa ditunda susulan kejadian banjir yang melanda di beberapa negeri ini.

Sekreteriat Pesta Sukan Air menerusi satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, keputusan penundaan itu dibuat atas perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diambil dengan penuh pertimbangan.

Menurutnya, baginda amat memahami kekecewaan yang dirasai oleh seluruh rakyat, khususnya peserta dan pengunjung yang telah lama menantikan pesta itu, namun keselamatan dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.

“Baginda bertitah, keputusan ini diambil setelah mempertimbangkan situasi semasa di negeri Perak, khususnya kejadian banjir, hujan lebat yang melanda di beberapa kawasan menyebabkan peningkatan paras air sungai di negeri Perak.

“Maka adalah tidak sesuai bagi kita untuk berpesta ria ketika masyarakat sedang mengharungi saat-saat sukar,“ katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak penganjur memahami kekecewaan yang dirasai oleh semua pihak, terutamanya peserta yang telah lama menanti-nantikan saat untuk bersaing dan pengunjung yang telah membuat persiapan untuk pulang ke kampung halaman.

Pada masa sama, pihak penganjur turut memohon maaf atas segala kesulitan yang terpaksa ditanggung.

“Pihak penganjur juga sedar bahawa ramai di antara kita telah membuat persediaan rapi, seperti latihan intensif untuk pelbagai acara sukan air, malah ada yang telah mengambil cuti semata-mata untuk menyaksikan kemeriahan pesta.

“Bagaimanapun, pihak penganjur percaya bahawa penangguhan ini adalah langkah yang wajar bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak terjamin.

“Namun demikian, pihak penganjur ingin menzahirkan sebuah bentuk keyakinan kepada seluruh masyarakat bahawa penundaan ini bukanlah penghujung segala- galanya. Sebaliknya, ia adalah salah satu bentuk penghormatan kepada mereka yang sedang memerlukan bantuan dan sokongan,“ jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu, menurut kenyataan tersebut pihak penganjur menegaskan serta memberi jaminan Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 bukan dibatalkan sepenuhnya tetapi ditangguh ke suatu tarikh yang sesuai, iaitu apabila keadaan telah kembali pulih dan rakyat dapat bersama- sama meraikannya.

“Pihak penganjur akan terus komited memantau perkembangan terkini dan akan memaklumkan sebarang perubahan mengenai tarikh baharu pelaksanaan pesta ini. Segala maklumat lanjut akan disiarkan melalui saluran-saluran rasmi dan juga didalam media sosial,“ jelas kenyataan itu.

Terdahulu, MG Perak melaporkan selepas 15 tahun menyepi Pesta Sukan Air Kuala Kangsar kembali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perak dan Muafakat Anak Jati Kuala Kangsar (GEMUDA).

Lebih bermakna lagi apabila Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 itu dianjurkan bersempena ulang tahun ke-10 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersemayam di atas takhta singgahsana Kerajaan Negeri Perak. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pesta Sukan Air Kuala Kangsar Kembali selepas 15 tahun

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI