ViQ jenama lokal sukan keluaran anak Perak

MINAT mendalam terhadap fesyen mendorong pasangan Kong Chee Kin, 36, dan isterinya, Vivian Ng Tze Qi, 34, menceburi perniagaan pakaian berkonsepkan sukan dan rekreasi (athleisure) di bawah syarikat ViQ Apparel Sdn Bhd (ViQ).

Ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu, pasangan suami isteri itu terus mengembangkan perniagaan mereka dengan memperkenalkan dua jenama baharu yang bernaung di bawah ViQ iaitu Tidalwave dan Orka.

Jenama ViQ turut menerima Anugerah Jenama Berprestij Antarabangsa (International Prestige Brand Award) di bawah Best Brand Of The Year (Jenama Terbaik 2018) daripada Asian Excellence Entrepreneurs Federation (AEEF).

Pada mulanya, pasangan berasal dari Ipoh, Perak ini menjalankan perniagaan dengan menjual pakaian secara dalam talian sewaktu menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

ViQ jenama lokal sukan keluaran anak Perak
ViQ Apparel Sdn Bhd (ViQ), Taman Canning, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 OKTOBER 2024.

Malahan, Tze Qi yang berkecimpung dalam sukan padang dan balapan selama 10 tahun menjadikan pengalaman itu sebagai salah satu pembakar semangat untuk menghasilkan pakaian sukan yang sesuai serta selesa dipakai mengikut cuaca di Malaysia.

Menurut Pengasas Bersama ViQ, Chee Kin, nama ViQ itu adalah singkatan nama isterinya yang juga pengasas syarikat berkenaan.

“Viq ditubuhkan pada 2014 dan segalanya bermula daripada isteri saya. Masa itu saya berkenalan dengannya sewaktu belajar di universiti yang sama dan dia memang seorang yang bersemangat dalam bidang fesyen.

“Bagaimanapun, sepanjang menjalankan perniagaan kami melihat terdapat potensi yang baik dalam pakaian sukan athleisure.

ViQ jenama lokal sukan keluaran anak Perak
Pengasas ViQ Apparel Sdn Bhd (ViQ), Kong Chee Kin, 36, ketika temubual bersama MG Perak di Taman Canning, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 OKTOBER 2024.

“Jadi, kami membuat keputusan untuk menumpukan perhatian dengan menjual pakaian tersebut,” katanya ketika ditemui MG Perak di salah satu cawangan ViQ di Taman Canning, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Chee Kin berkata, setakat ini terdapat empat kedai ViQ yang beroperasi melibatkan tiga di Ipoh dan satu di Pulau Pinang melibatkan 50 kakitangan.

Pakaian sukan ViQ berkonsepkan athleisure

Chee Kin berkata, dalam sukan terdapat dua kategori iaitu pakaian sukan berprestasi (performance sportwear) dan athleisure.

“Jenama terkenal yang ada di pasaran kebanyakannya lebih ke arah performance sportwear yang direka khusus untuk meningkatkan prestasi semasa aktiviti sukan dan biasanya dipakai oleh atlet atau individu yang aktif dalam pelbagai jenis sukan.

ViQ jenama lokal sukan keluaran anak Perak
Terdapat pelbagai barangan sukan seperti pakaian, aksesori, alatan perkhemahan yang dijual di ViQ Apparel Sdn Bhd (ViQ), Taman Canning, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 OKTOBER 2024.

“Pakaian kami lebih kepada athleisure merujuk kepada gaya pakaian yang menggabungkan elemen sukan dan kasual. Ia direka untuk dipakai dalam aktiviti fizikal serta dalam kehidupan seharian contohnya seperti yoga ataupun pilates,“ jelasnya

Katanya, selain ViQ yang lebih fokus kepada pakaian sukan, kedainya turut menawarkan jenama Tidalwave khusus untuk pakaian renang dan aktiviti pantai.

“Manakala, di bawah jenama Orka pula, kami menjual pelbagai kelengkapan perkhemahan,“ ujarnya.

Kualiti produk setanding jenama terkenal, harga berpatutan

Ujarnya, material yang dipilih untuk menghasilkan pakaian sukan tersebut adalah mikro fiber berkualiti yang diperoleh dari dalam dan luar negara.

“Kebanyakkan produk baju kami diperbuat daripada material mikro fiber. Ini kerana material tersebut mempunyai pelbagai ciri-ciri yang sesuai dengan pakaian sukan.

ViQ jenama lokal sukan keluaran anak Perak
Pengasas ViQ Apparel Sdn Bhd (ViQ), Kong Chee Kin, 36 (kanan) bersama isterinya dan juga Pengasas Bersama ViQ, Vivian Ng Tze Qi, 34, memulakan perniagaan menjual peralatan dan pakaian sukan pada tahun 2014 dan mempunyai 3 cawangan di sekitar Ipoh, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 OKTOBER 2024.

“Material tersebut tahan lasak, mampu mengekalkan bentuk serta cepat meresap dan menyejat peluh selain cepat kering, tidak berbau serta ringan,“ jelasnya.

Tambahnya, harga produk yang ditawarkan amat berpatutan dan ia bermula serendah RM10.90 sehingga mencecah ratusan ringgit.

“Kami juga ada menjual tiga helai baju yang mempunyai 25 pilihan warna dengan harga RM59 sahaja.

“Harga bagi pakaian renang muslimah Tidalwave pula bermula dari RM160 dan ke atas serta ia menggunakan material yang mampu melindungi pemakai daripada sinaran UV,“ katanya.

ViQ jenama lokal sukan keluaran anak Perak
Antara aksesori sukan yang terdapat di ViQ Apparel Sdn Bhd (ViQ), Taman Canning, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 OKTOBER 2024.

ViQ bagi tajaan kepada atlet

Sementara itu, Chee Kin berkata, VIQ diberi kepercayaan untuk menaja atlet Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak dan Majlis Sukan Sekolah Perak (MSSPk).

“Kami turut bekerjasama dengan MSN Perak dan MSSPk dengan memberi tajaan dari segi kewangan dan pakaian sukan.

“Antara atlet sukan yang ditaja adalah hoki, sepaktakraw dan badminton. Selain itu, kami turut memberi tajaan 800 helai baju pengadil kepada MSSPk pada tahun ini,” katanya.

Sedia jadi jenama sukan mewakili Malaysia

ViQ jenama lokal sukan keluaran anak Perak
Terdapat pelbagai barangan sukan seperti pakaian, aksesori, alatan perkhemahan yang dijual di ViQ Apparel Sdn Bhd (ViQ), Taman Canning, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 OKTOBER 2024.

Bagi memastikan jenama ViQ terus kekal relevan dalam pasaran, Chee Kin bersama isterinya bercadang untuk membuka tiga cawangan baharu di Selangor dan Kuala Lumpur pada tahun hadapan.

“Untuk menjadi satu jenama sukan yang dikenali ramai, kami akan terus memperluaskan jenama ViQ dan menerusi produk serta harga yang ditawarkan, saya cukup yakin kami mampu menjadi satu jenama yang boleh mewakili Malaysia pada masa akan datang,“ ujarnya.

Warga Perak yang meminati pakaian sukan, baju renang atau ingin mencari peralatan perkhemahan boleh singgah ke ViQ Flagship Store di 45, Jalan Lee Kwee Foh, Taman Canning, 31400 Ipoh. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dulu jual jamu kecil-kecilan, sekarang buka spa

MGPerak: ViQ Jenama Lokal Pakaian Sukan Anak Perak

TONTON VIDEO:

MGPerak: ViQ Jenama Lokal Pakaian Sukan Anak Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI