KUALA LUMPUR- Pneumonia atau radang paru-paru menjadi punca utama kematian di Malaysia pada 2023 dengan 18,181 kematian atau 15.2 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.
Ia sekali gus mengatasi Ischaemic heart diseases atau sakit jantung koronari sebagai sebab kematian utama buat kali pertama dalam dua dekad, kecuali pada 2021 iaitu akibat jangkitan COVID-19.
Pneumonia merupakan sebab kematian utama bagi etnik Cina dan Bumiputera Lain yang masing-masing merekodkan 4,887 kematian (16.4%) dan 1,255 kematian (12.2%) pada 2023.
Enam negeri yang merekodkan radang paru-paru sebagai sebab kematian utama adalah Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Sementara itu, etnik Melayu dan etnik India masing-masing merekodkan Ischaemic heart diseases sebagai sebab kematian utama iaitu 16.0 peratus dan 20.6 peratus.
Statistik itu dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi laporan Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia, 2024 yang membentangkan statistik sebab kematian di Malaysia bagi tahun 2023.
Laporan itu mengikut ciri-ciri demografi di peringkat nasional, negeri dan daerah pentadbiran.
Statistik itu penting bagi penggubalan polisi dan perancangan program berkaitan bidang kesihatan serta sumber rujukan kepada penyelidik dan akademik.
“Punca kematian dalam kalangan penduduk Malaysia adalah penting diketahui untuk menggalakkan penduduk memperbaiki gaya hidup pada masa hadapan, menilai keberkesanan sistem kesihatan Malaysia serta peruntukan sumber secara langsung ke kawasan dan golongan sasaran,” kata Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Uzir Mohd Mahidin berkata, peningkatan kematian disebabkan Pneumonia adalah disumbangkan oleh kesan pasca pandemik di mana jangkitan paru-paru dalam komuniti telah menyebabkan Pneumonia terutama bagi individu yang mempunyai sistem imun yang lemah dan masalah kesihatan sedia ada.
Sementara itu, Ischaemic heart diseases yang merupakan sebab kematian kedua tertinggi di Malaysia pada 2023 adalah disebabkan amalan gaya hidup dan pengambilan pemakanan yang tidak sihat.
Ini disokong oleh kenyataan dari Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Ischaemic heart diseases berlaku apabila saluran darah menjadi keras dan sempit disebabkan oleh plak kolesterol.
“Faktor risiko utama penyebab penyakit ini adalah termasuk merokok, paras kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes dan faktor usia. Selain itu, terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi seperti obesiti, kurang menjalankan aktiviti fizikal dan sejarah keluarga.
“Selain Ischaemic heart diseases, beberapa penyakit tidak berjangkit lain seperti Cerebrovascular diseases, Hypertensive diseases dan Diabetes mellitus turut disebabkan oleh amalan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat,” katanya.
Tambah Mohd. Uzir, sebab kematian utama bagi penduduk berumur 60 tahun dan lebih adalah Pneumonia denganmerekodkan 14,377 kematian atau 19.3 peratus.
Manakala penduduk berumur 41-59 tahun merekodkan Ischaemic heart diseases pada 19.8 peratus (5,673 kematian).
Selain itu, kemalangan pengangkutan merupakan sebab kematian utama bagi penduduk berumur 0-14 tahun dan 15-40 tahun yang masing-masing merekodkan 3.7 peratus dan 20.1 peratus.
Statistik turut menunjukkan kematian disebabkan kanser turut meningkat sejak tahun 2001 daripada 5,231 kematian kepada 16,545 kematian pada 2023.
Kanser organ pencernaan merekodkan kematian tertinggi berbanding kanser lain iaitu 5,054 kematian. -MalaysiaGazette