30 tahun bergelar imam, Ustaz Agus Lokman terus berbakti

BERGELAR Imam Masjid Jamek Al-Mansur, Sungai Lampam di Teluk Intan sejak 1994 menjadikan Ustaz Agus Lokman Sulam, 56, sebagai figura yang cukup disegani bukan sahaja di Hilir Perak malah juga di negeri ini.

Penerima Anugerah Tokoh Imam sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 1446H/2024 itu, telah menabur bakti selama 30 tahun sebagai imam di Masjid Jamek Al-Mansur.

Anak kelahiran Sungai Lampam, Teluk Intan ini turut menjadi Pengetua Maahad Al-Islah yang diasaskan oleh bapanya Allahyarham Sulam Mansor bersebelahan dengan masjid dia menjadi imam.

Menerima Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lampam, beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh sebelum ke Kolej Islam Klang, Selangor.

Pengerusi dan Imam Masjid Jamek Al-Mansur, Ustaz Agus Lokman Sulam ketika temubual bersama MG Perak di SMA Maahad Al-Islah, Teluk Intan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 OKTOBER 2024.

Selepas menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Perak, Agus Lokman kemdiannya menyambung pelajaran di Fakulti Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Mesir sebelum pulang ke tanah air pada 1994.

Menurut beliau, kepulangannya itu atas permintaan bapanya yang mahu Agus Lokman bersama-sama menguruskan Maahad Al Islah di Sungai Lampam, Teluk Intan.

“Kalau ikutkan hati nak sambung lagi kerana masih banyak lagi saya ingin belajar di Al-Azhar namun atas kehendak arwah bapa saya Ketika itu maka pada 1994 saya pulang ke kampung halaman.

“Bila pulang saya mengimpikan untuk bekerja di sektor kerajaan seperti guru dan hakim namun beberapa orang ‘Tuan Guru’ (agamawan) menasihati saya agar kekal menguruskan Maahad Al Islah dan juga Masjid Jamek Al-Mansur,” katanya kepada MG Perak.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, perjalanannya menjadi imam bermula beberapa bulan pulang ke tanah air selepas diberi ruang dan peluang oleh pengurusan Masjid Jamek Al-Mansur.

Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Al-Islah, Ustaz Agus Lokman Sulam melakukan tinjauan salah sebuah kelas di SMA Maahad Al-Islah, Teluk Intan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 OKTOBER 2024.

“Pulang sahaja dari Mesir saya tidak berani untuk kehadapan kerana Ketika itu ada beberapa orang ustaz yang lebih berpengalaman dari saya yang muda ini.

“Tetapi mereka kemudiannya memberi saya ruang untuk menjadi imam dalam tahun yang sama saya pulang dari Mesir iaitu 1994 bagi mengantikan guru saya yang semakin uzur ketika itu,” katanya.

Bergelar imam diusia muda perlu usaha tawan jemaah pelbagai umur

Ditanya penerimaaan kariah terutamanya mereka yang lebih tua apabila beliau dilantik sebagai imam pada usia muda, Agus Lokman berkata, pada mulanya dia agak bimbang namun sokongan yang diterimanya amat luar biasa.

Jelas beliau, meskipun lepasan Universiti Al-Azhar beliau melihat masih banyak perkara yang perlu dipelajari terutamanya ilmu kemasyarakatan.

“Apa yang saya belajar di Al-Azhar adalah isi kandungan ilmu tetapi bila masuk dalam masyarakat kita kena belajar ilmu masyarakat seperti bagaimana menyantuni, memahami serta berkomunikasi.

Pengerusi dan Imam Masjid Jamek Al-Mansur, Ustaz Agus Lokman Sulam mengaminkan doa selepas menunaikan Solat Zohor ketika tinjauan MG Perak di Masjid Jamek Al-Mansur, Teluk Intan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 OKTOBER 2024.

“Kebetulan mereka semua ini merupakan orang-orang yang selalu saya jumpa jadi mudah untuk berbual dengan mereka dalam mewujudkan silaturahim dan keyakinan,” katanya.

Menurutnya lagi, seorang imam perlulah disenangi oleh makmumnya dari pelbagai peringkat umur dengan mengenali mereka secara semula jadi dan tidak perlu dilakukan dalam keadaan tergopoh-gapah.

“Sebagai imam kita perlu mengambil kira siapa Jemaah kita, jika di belakang ramai yang uzur janganlah dibaca surah-surah yang panjang.

“Kita juga tidak perlu menonjolkan diri kerana saya percaya proses hubungan dengan masyarakat secara semulajadi amat diperlukan supaya jemaah lebih selesa,” katanya.

Tokoh Imam anugerah paling tinggi diterima sepanjang 30 tahun

Menceritakan perasaan ketika dipilih sebagai Tokoh Imam Perak sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1446H/2024, Agus Lokman berkata, beliau amat bersyukur dengan rezeki yang diberikan Allah S.W.T tersebut.

Jelasnya, dia tidak pernah menerima anugerah sebesar itu sepanjang 30 tahun bergelar imam kerana apa yang dilakukannya ikhlas demi agama semata-mata.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Imam kepada Ustaz Agus Lokman Sulam pada sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M peringkat negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 SEPTEMBER 2024.

“Syukur kepada Allah S.W.T atas anugerah ini dan patik menjunjung kasih kepada paduka Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas anugerah yang dikurniakan ini.

“Saya yakin ramai lagi insan lain yang mempunyai visi dan misi dalam membangunkan masjid dan anugerah saya terima ini juga adalah sokongan daripada keluarga saya.

“Untuk berjaya seperti ini saya juga mendapat sokongan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), jawatankuasa Masjid Jamek Al-Mansur serta penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata, Anugerah Tokoh Imam Perak yang diterimanya itu juga merupakan satu tanggungjawab kepadanya untuk teus berfikir bagaimana mencari ruang membantu umat Islam.

“Alhamdulillah selain itu juga Allah izinkan saya menjunjung titah Sultan Perak di atas perlantikan sebagai Ahli Majlis Perundingan Masjid Perak.

Editor MG Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said (kiri) menemubual Pengerusi dan Imam Masjid Jamek Al-Mansur, Ustaz Agus Lokman Sulam di SMA Maahad Al-Islah, Teluk Intan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 OKTOBER 2024.

“Apa yang saya terima memberi rangsangan dan peluang untuk berdakwah dan saya berdoa agar diberi kesihatan yang baik untuk berbakti kepada masyarakat sekeliling,” katanya.

Tambahnya lagi, anugerah yang diterimanya turut memberi motivasi agar lebih cekal dan yakin dalam memastikannya terus berdakwah.

Ustaz dan belia rebutlah menjadi imam di usia muda

Agus Lokman berkata, cabaran menjadi seorang imam sekitar 30 tahun lalu dan sekarang amat berbeza terutamanya dengan peredaran teknologi yang semakin canggih.

Katanya, jika dahulu di masjid perpaduan menjadi keutamaan dan sebagai seorang imam dia perlu menjadikan masjid sebagai medium untuk masyarakat berkumpul.

Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Al-Islah, Ustaz Agus Lokman Sulam melakukan tinjauan setiap kelas di SMA Maahad Al-Islah, Teluk Intan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 OKTOBER 2024.

“Bila menjadi imam kita akan diberi kepecayaan oleh kariah dan kerana itu pemikirannya juga perlu disenangi dan sebagai orang yang belajar agama tidak boleh mendabik dada.

“Jika dahulu masjid di kampung ramai yang datang solat berjemaah tetapi kini tidak lagi sebaliknya ia berlaku di kawasan bandar pula dan kadang-kadang saya cemburu melihat perkara itu.

“Kerana itu pada masa sekarang kita kena berfikir kaedah lain untuk menarik golongan muda ke masjid dengan menganjurkan aktiviti yang sesuai dengan mereka,” katanya.

Agus Lokman turut memberi nasihat kepada bakal-bakal imam agar menjaga Islam itu sendiri seiring dengan masyarakat sekitar masjid.

Beliau berkata, golongan yang bergelar Ustaz iaitu golongan agamawan seharusnya ke hadapan memandangkan mereka mempelajari agama dan tugas memimpin masyarakat Islam itu adalah keutamaan mereka.

Pengerusi dan Imam Masjid Jamek Al-Mansur, Ustaz Agus Lokman Sulam ketika temubual bersama MG Perak di SMA Maahad Al-Islah, Teluk Intan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 OKTOBER 2024.

“Kita perlu menjadi agamawan yang menjaga masyarakat dan satu perkara yang tidak lari apabila bergelar imam adalah imam dan Ustaz tidak boleh dipisahkan.

“Ustaz janganlah tunggu pencen baru jadi imam sebaiknya ketika di universiti lagi menjadi imam kerana suara masih kuat, qiraat masih sedap, kalau sudah tua kita tidak berapa mampu,” katanya.

Tambah beliau, kepada generasi muda pula rebutlah peluang menjadi imam kerana penerimaan masyarakat pada hari ini amat baik terhadap imam muda berbanding 30 tahun lalu.

“Saya sangat gembira melihat mana-mana masjid banyak imam muda dan saya yakin ini disusun sendiri oleh sahabat-sahabat di Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) yang memberi keprcayaan kepada orang muda.

“Jadi orang muda perlulah ambil peluang dan bila bergelar imam jagalah adab dan akhlak serta hormati mereka yang tua dan makmum,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: 30 Tahun Bergelar Imam, Ustaz Agus Lokman Tokoh Imam Perak

MGPerak: 30 Tahun Bergelar Imam, Ustaz Agus Lokman Tokoh Imam Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI