IPOH – Kerajaan Negeri Perak merakamkan ucapan tahniah kepada Safuan Raba’ai yang dilantik sebagai Pengarah Pendidikan Negeri berkuat kuasa 28 Oktober lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Mohamad Fauzi Mahson yang bersara wajib pada bulan sama.
Katanya, kerajaan negeri yakin Safuan akan membantu melonjakkan sektor pendidikan negeri di samping terus memperkasa segala inisatif yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri khususnya Program Tuisyen Cikgu Saarani.
“Beliau merupakan anak kelahiran Perak dan pernah berkhidmat di beberapa sekolah di negeri ini. Dan untuk itu, sudah pasti beliau dapat membantu menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan negeri.
“Saya yakin berdasarkan pengalaman beliau itu, ia juga akan mengeratkan lagi hubungan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sama ada dengan kerajaan negeri, agensi kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam hal berkaitan pembangunan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan 10 Tahun Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru) di Bangunan Persekutuan Seruan Islam Perak, dekat sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Islam JPN Perak, Wan Ahmad Salahuddin Ahmad Rafail; Presiden I-Guru, Azizee Hasan serta Presiden Kongres Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Juhari Mohamad Nor.
Safuan, 59, memulakan karier sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Tajul Ariffin di Kuala Kangsar pada tahun 1988.
Anak kelahiran Bandar Diraja itu pernah berkhidmat di beberapa sekolah lain antaranya Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tsung Wah Kuala Kangsar, The Malay College Kuala Kangsar (MCKK), SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Sekolah Dato’ Abdul Razak, Negeri Sembilan.
Selepas lima tahun berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar, Safuan kemudian berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran di JPN bermula Ogos tahun lalu.
Mengulas lanjut, Khairudin turut berharap agar Safuan dapat memberi tumpuan kepada beberapa isu dalam hal pendidikan murid seperti masalah menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) serta terus menambah bilangan penerima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kita tidak mahu anak-anak ini belajar enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah, tetapi akhirnya tidak dapat sijil SPM kerana gagal peperiksaan awam itu.
“Tumpuan yang minta diberikan adalah di sekolah rendah adalah isu menguasai kemahiran asas 3M, sementara di sekolah menengah sijil SPM. Kedua-dua perkara ini berkait antara satu sama lain,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: