RM2.5 juta untuk Kampung Angkat Madani di Kampung Masjid

LARUT – Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan 10 projek di Kampung Masjid, Ijok di Selama dekat sini, melalui inisiatif Kampung Angkat Madani Jabatan Audit Negara.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, peruntukan daripada Kementerian Kewangan itu melibatkan antaranya projek penyenggaraan sistem saliran dan Sungai Ijok serta pembinaan dewan terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Wan Jaafar.

Katanya, projek penyenggaraan sistem saliran itu sebagai langkah menangani masalah berkaitan saliran seperti banjir yang memberi manfaat kepada 900 penduduk di Kampung Masjid.

Kampung Angkat Madani Kampung Masjid Ijok jabatan audit negara Wan Suraya peruntukan
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berucap pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Jabatan Audit Negara di Kampung Masjid, Ijok di Selama, Larut. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 NOVEMBER 2024.

“Projek pembinaan dewan terbuka SK Haji Wan Jaafar akan memberi manfaat kepada 198 murid, 21 pelajar di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan 11 murid pra-sekolah serta guru-guru.

“Pembinaan dewan itu mampu memberi keselesaan warga sekolah untuk menjalani aktiviti luar bilik darjah atau mengadakan perhimpunan sekolah.

“Selain itu, dewan terbuka ini mampu dijadikan tempat pelajar berlindung dari panas cahaya matahari serta hujan semasa sesi pembelajaran mahupun semasa menunggu pulang dan tiba ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Jabatan Audit Negara di Kampung Masjid, Ijok, dekat sini, pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Antara projek lain yang turut telah dilaksanakan di bawah peruntukan sama adalah, pemasangan lampu solar, menaik taraf kemudahan di masjid serta fasiliti kemudahan awam seperti ruang perniagaan, gelanggang futsal, dan taman permainan.

Kampung Angkat Madani Kampung Masjid Ijok jabatan audit negara Wan Suraya peruntukan
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun bergambar pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Jabatan Audit Negara di Kampung Masjid, Ijok di Selama, Larut.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 NOVEMBER 2024.

Mengulas lanjut Wan Suraya berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu mampu memberi nafas baru khususnya kepada golongan peniaga untuk menjalankan aktiviti dalam suasana kondusif.

Ujar beliau, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan peniaga setempat dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi setempat.

Tambah beliau lagi, kesemua 10 projek berkenaan telah dimulakan pada awal Ogos lalu dan siap sepenuhnya secara berfasa pada akhir bulan lalu.

“Saya amat berharap agar kita semua pihak termasuk agensi negeri, penghulu dan penduduk akan mengambil tanggungjawab dalam menyelenggarakan serta menjaga kelangsungan penggunaan kemudahan-kemudahan ini agar dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

“Sebagai Ketua Audit Negara, saya dapati banyak isu-isu audit terhadap pengurusan projek atau kerja pembangunan yang lemah.

“Ia disebabkan kelemahan terhadap pengurusan penyelenggaraan dan penguatkuasaan yang menyebabkan objektif penyediaan kemudahan untuk dimanfaatkan oleh rakyat tidak tercapai,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Santuni Madani: Kampung Kuak Hulu kampung angkat Menteri Pendidikan

Ikuti kami di media sosial

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI