BATU GAJAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Op Tiris 3.0 dengan jumlah rampasan 1,725 liter.
Rampasan sekitar jam 7.30 pagi itu dibuat di sebuah premis melombong pasir di Jalan Gopeng Batu 3, di sini pada Rabu, hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Perak selama dua minggu di sekitar Batu Gajah.
Pengarah KPDN Perak, Kamalludin Ismail berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kegiatan tersebut dipercayai aktif sejak sebulan lalu melibatkan pemandu lori yang menjual minyak diesel lori syarikat tempat mereka berkerja dengan harga RM2 kepada sindiket.
Menurutnya, modus operandi yang dilakukan adalah pemandu lori akan menyedut minyak diesel dari tangki asal lori mereka mengunakan pam dan hos masuk ke dalam tangki asal lori sindiket serta terus ke tangki tambahan yang disembunyikan di atas lori.
Tambahnya, pihak sindiket kemudiannya akan menjual minyak diesel itu kepada syarikat pelombong pasir dengan harga RM2.80 seliter untuk kegunaan jentera.
“Ketika serbuan di tempat kejadian, pemandu lori didapati sedang memindahkan minyak diesel dari tangki tambahan mengunakan pam penyedut ke dalam beberapa bekas untuk kegunaan di tapak perlombongan pasir.
“Hasil pemeriksaan juga menemui kira-kira 1,725 liter cecair disyaki minyak diesel di dalam dua tangki fiber berkapasiti 1,000 liter yang berada di dalam lori. Tiada sebarang permit atau lesen barang kawalan dijumpai di tempat kejadian.
“Sehubungan itu, cecair yang disyaki minyak diesel, kenderaan lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pam minyak, wayar hos dan lain-lain telah disita untuk tindakan lanjut,“ katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, dua lelaki warga tempatan berbangsa India yang disyaki sebagai pemandu lori dan pemilik premis masing-masing berumur 28 tahun dan 41 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Nilai sitaan adalah dianggarkan berjumlah RM58,577.75 dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN serbu stor haram simpan 5,550 liter diesel tanpa permit