GOPENG – Kerajaan Negeri Perak bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menubuhkan kampus cawangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan itu dikemukakan oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dalam satu kunjung hormat KPT ke pejabat beliau di Ipoh, baru-baru ini.
Menurutnya, delegasi yang diketuai Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mengenal pasti serta bersetuju dengan lokasi cadangan pembukaan cawangan institusi pengajian tinggi (IPT) itu di Segari, Lumut. – MGPerak





