KPDN serbu premis simpan 102 tong gas tanpa permit

TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan 102 tong gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan ke atas sebuah premis di Kawasan Perindustrian Kamunting, dekat sini, pada Khamis.

Hasil maklumat risikan selama seminggu mendapati premis tersebut menyimpan barang kawalan berkenaan secara haram selain telah beroperasi selama dua bulan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sepasukan anggota dan pegawai daripada KPDN Cawangan Taiping telah melakukan pemeriksaan Ops Tiris 3.0 di lokasi kira-kira jam 3 petang.

Katanya, ketika serbuan, pihaknya menemukan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan gagal untuk mengemukakan surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan di premis tersebut.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dan menyita kesemua unit tong silinder gas LPG di premis terbabit dengan nilai sitaan dianggarkan RM9,180,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Kamalludin, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Menurut beliau, jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua–duanya sekali.

Kamalludin menambah, bagi pertubuhan atau perbadanan di bawah akta sama, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak patahkan cubaan seludup 80 paket minyak masak ke Thailand

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI