BATU GAJAH – Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) menganjurkan program My Body Fit and Fabulous (MyBff) bermula hari ini bagi membantu kakitangannya menjaga kesihatan dengan cara betul bagi menurunkan berat badan ke tahap yang seimbang.
Yang Dipertua MDBG, Mohamad Razif Ramli berkata, program yang julung kali diadakan itu akan berlangsung selama enam bulan dan melibatkan 80 peserta terdiri daripada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
Menurutnya, selain itu, program tersebut bukan sekadar menggalakkan kakitangan mengamalkan gaya hidup sihat malah turut melibatkan kriteria yang lebih spesifik termasuk jumlah kehadiran, kes tatatertib serta pembabitan mereka dalam program rasmi dan komuniti.
“Program tersebut bermula hari ini dan melibatkan 80 peserta yang mendaftar secara sukarela tanpa sebarang paksaan namun kita menggalakkan mereka (kakitangan) menyertainya. Sebab itu, kita menawarkan hadiah kepada peserta yang berjaya.
“Peserta akan dinilai dari segi disiplin, hari datang bekerja, intergriti dan komitmen kakitangan dalam penyampaian majlis dan semuanya akan dicampurkan dengan penurunan berat badan.
“Kita tidak mahu kakitangan kita badan fit (cergas) tetapi tiada disiplin pun tak jadi juga. Jadi kita hendak ia seimbang supaya perkhidmatan terbaik dapat kita berikan kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Rakan Alam Sekitar X Eco Green Market dan program MyBff di MDBG, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, program tersebut amat penting untuk penjawat awam memandangkan mereka berkhidmat kepada masyarakat.
“Ini adalah satu galakan kepada semua penjawat awam terutamanya warga PBT untuk melibatkan diri mencapai badan yang lebih sihat yang bermatlamat untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti,” katanya.
Program MyBff menawarkan hadiah utama RM5,000 dan enam hadiah saguhati bernilai RM500 setiap seorang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MDBG PBT pertama di Perak laksana DDMS 2.0