GISBH: Perak terima pakai keputusan MKI

LENGGONG – Kerajaan Negeri Perak akan menerima pakai pendirian Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan ajaran yang dibawa syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) adalah sesat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, susulan itu kerajaan negeri akur dan akan mengambil langkah-langkah perlu termasuk daripada segi penguatkuasaan.

“MKI dipengerusikan Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) dan itu bermakna ia standard kepada seluruh negara. Oleh kerana ia di peringkat kebangsaan, maka kita di negeri akur.

“Dan untuk itu kita akan melaksanakan penguatkuasaan kepada mana-mana orang yang terlibat (atau melakukan amalan) bercanggah sebagaimana yang diputuskan MKI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Sesi Libat Urus Bersama Pengendali Industri Pelancongan Daerah Lenggong, di Resort Tasik Raban dekat sini, pada Jumaat.

Pada Khamis, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr Nooh Gadot mengumumkan MKI memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa Nasiruddin Mohd Ali daripada syarikat GISBH sebagai sesat kerana mempunyai ciri-ciri menyeleweng dari ajaran Islam

Beliau dilaporkan berkata, ia diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-125 yang berlangsung pada 24 hingga 26 September lalu.

Beliau menjelaskan, antara fahaman menyeleweng yang dipegang oleh kumpulan itu termasuk mentakrifkan Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai Imam Mahdi, manakala pengasas al-Arqam, Ashaari Muhammad, pula dianggap pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.

Mengulas lanjut Saarani memberitahu, keputusan MKI itu juga akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) yang dijadual berlangsung pada 27 November nanti.

“Tidak ada keperluan untuk buat fatwa lain kerana sebaliknya kita mengguna pakai apa yang diputuskan MKI, itu sahaja,” jelas beliau.

Tambah beliau, ketika ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sedang giat melaksanakan penjagaan kebajikan kepada anak-anak terlibat sementara Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertanggungjawab melakukan pemulihan akidah kepada mereka yang terbabit.

Ditanya sekiranya kumpulan itu akan menukar nama selepas penguatkuasaan itu dilaksanakan, Saarani berkata, kerajaan negeri yakin dengan kemampuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguruskan hal berkenaan.

“Saya yakin KDN sudah mempelajari apa yang berlaku di mana mereka (menukar nama) daripada nama al-Arqam (kemudian kepada Rufaqa), dan kini GISBH.

“KDN sudah pasti mengambil maklum terhadap kaedah mereka tersendiri, dan akan mengambil tindakan perlu bagi mengelakkan hal sama daripada berlaku,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

22 individu termasuk CEO GISBH didakwa ahli jenayah terancang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI