IPOH – Kerajaan negeri Perak memutuskan untuk mengurangkan penggunaan gula dalam makanan dan minuman sempena Majlis Sambutan Hari Deepavali peringkat negeri yang akan diadakan pada 23 November ini.
Untuk rekod, ini adalah kali pertama konsep ‘kurang gula’ dikuatkuasakan pada sambutan perayaan peringkat Perak.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, selain itu, makanan berminyak juga tidak dibenarkan pada majlis berkenaan.
Menurutnya, perkara ini dilaksanakan susulan satu daripada enam orang atau 15.6 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia didiagnoskan sebagai penghidap diabetes.
“Pada tahun ini sambutan agak berbeza kerana kita akan kurangkan kandungan gula dalam kesemua bahan makanan. Minuman berwarna dan sirap (kordial) tidak akan dibenarkan.
“Justeru, saya sudah mengarahkan pegawai kesihatan untuk mengadakan taklimat dengan pembekal makanan bermula dari pemakaian, pengendalian makanan dan pemeriksaan.
“Jadi minuman seperti sirap, teh tarik tidak akan dibenarkan sebab ada pewarna, air dan kandungan gula yang tinggi,“ katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.
Sivanesan berkata, penguatkuasaan pengurangan gula itu turut dilaksanakan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 29 November ini.
“Kafeteria DUN tidak akan menyediakan teh tarik. Jadi, kita akan mula dan makanan kurang minyak akan dihidangkan.
“Pegawai jabatan kesihatan juga akan berada semasa persidangan DUN. Mereka akan periksa setiap makanan dengan kandungan gulanya.
“ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) bermula daripada Menteri Besar, Exco dan ADUN kerajaan dan pembangkang sebelum makan, mereka akan tahu kalori makanan hari itu.
“Klinik sementara akan disediakan jika ada nak buat pemeriksaan gula di badan, tekanan darah dan sebagainya akan dilakukan secara percuma,“ jelasnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan seramai 5,000 orang dijangka akan memeriahkan Majlis Sambutan Hari Deepavali peringkat negeri yang diadakan di Stadium Indera Mulia, di sini.
Majlis yang bermula jam 3 petang itu akan dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. – MG Perak
Artikel Berkaitan: