GERIK – Seorang wanita yang dilaporkan hilang di Sungai Air Beruk, Jalan Padang Stang, Kampung Kerunai di sini, kelmarin ditemukan lemas pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa Nur Arina Azizan, 20, ditemui di Sungai Rui kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tersangkut di dahan pokok di dalam air berhampiran tebing sungai oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kerunai pada jam 4 petang tadi.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti terdekat di Kampung Dusun dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 58 anggota dan pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, polis, Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.30 petang,” ujarnya.
Semalam media melaporkan, seorang wanita dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus deras di Sungai Air Beruk sejak Ahad lalu.
Dalam insiden kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa bersama empat ahli keluarga bermandi-manda dan melakukan aktiviti dalam air menggunakan pelampung.- MG Perak
Artikel Berkaitan:
Operasi SAR wanita lemas di Sungai Air Berok, Gerik diteruskan