IPOH – Golongan belia di Perak menaruh harapan supaya Belanjawan Perak 2025 yang akan dibentangkan pada akhir bulan ini menumpukan perhatian ke atas pembangunan ekonomi golongan tersebut.
Kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Azril Fazrie Mohd Kamil, 28, berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada golongan belia yang baru berjinak-jinak untuk memulakan perniagaan.
“Pada masa ini, ramai golongan muda menceburkan diri dalam bidang perniagaan sama ada secara fizikal mahupun secara online (dalam talian).
“Sehubungan itu, harapan saya semoga kerajaan negeri dapat menyediakan inisiatif bersesuaian pada pembentangan belanjawan negeri khususnya untuk belia yang ingin memulakan perniagaan,” katanya kepada MG Perak pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Aiman Arif Hamdan, 25, pula berpendapat kelonggaran syarat bagi urusan pembelian rumah pertama dalam kalangan belia perlu dilaksanakan bagi memberi peluang kepada mereka memiliki rumah pertama.
Bagaimanapun, dia berkata, syarat tersebut perlulah bersesuaian dengan situasi ekonomi pada masa kini.
“Kos hidup rakyat dilihat semakin meningkat. Jadi, harapan saya untuk Belanjawan Perak 2025 adalah kerajaan negeri meneliti semula syarat untuk pembelian rumah pertama bagi golongan belia dan memberikan kelonggaran kepada yang benar-benar layak,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Fa’izzatul Asyiqin Sahar, 25, meminta supaya kerajaan negeri menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian memandangkan terdapat lambakan graduan yang masih menganggur.
“Saya berharap pembentangan belanjawan kerajaan negeri tahun hadapan dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang sesuai dengan gaji setimpal selaras keadaan ekonomi pada masa kini,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: