IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali peringkat negeri di Stadium Indera Mulia di sini, pada Sabtu.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Keberangkatan tiba Sultan Nazrin dan Tuanku Zara pada jam 3.30 petang disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta isteri, Datin Seri Aezer Zubin.
Turut menyambut keberangkatan baginda berdua Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
Dianggarkan 8,000 pengunjung daripada berbilang kaum mula menghadiri acara tahunan kerajaan negeri itu seawal jam 2.30 petang.
Antara juadah yang disediakan pada majlis adalah, pani puri, tosai, sate, kolukattai (kuih tradisional India), pasembur, vadai, paratha, putu mayam, idli (kuih beras kukus), apam manis, serta aneka minuman.
Di samping itu, kesemua tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian, dan tarian tradisional seperti Tarian Merak, Bharatanatyam serta tarian pelbagai kaum.
Majlis santapan turut diiringi persembahan oleh Kumpulan Selendang Perak, Veena Percussion, dan Greentown Dancers.
Pada majlis sama, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 67 penghuni rumah anak yatim dan pusat jagaan.
Mereka terdiri daripada Pusat Penjagaan 1 Malaysia Perak, Pusat Jagaan Gembala Baik, Pusat Jagaan Vision Home, Pusat Jagaan Pelangi Perak serta Yayasan Amanah An-Anur Maisarah. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sambutan Deepavali Perak: Makanan, minuman kurang gula menanti pengunjung