IPOH – Barisan Nasional (BN) akan terus memperkemaskan jentera di peringkat akar umbi agar kerjasama dengan Pakatan Harapan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan terus diperkukuhkan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, gerak kerja itu tidak hanya tertumpu di peringkat negeri sebaliknya ia juga turut melibatkan jentera parti di seluruh negara.
“Kerjasama baru tentunya memerlukan sedikit masa. Tetapi apa yang kita perlukan ialah komitmen yang berterusan.
“Namun kita dapat melihat dari segi bagaimana apa yang sedang dilakukan pada saat ini tidak hanya tertumpu di Negeri Perak, tetapi melibatkan semua negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Penutup Konvensyen BN Perak di Hotel Casuarina @ Meru, dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi BN Perak merangkap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M Ramasamy serta Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Mengulas lanjut Zambry berkata, secara umumnya persefahaman antara BN dan PH yang terbentuk berjalan dengan baik sama ada di Persekutuan mahupun Negeri Perak.
Kata beliau lagi, konvensyen yang dianjurkan juga menunjukkan komitmen BN Perak dalam mahu terus berkerja dan bergerak sederap memperkukuhkan parti.
Ujar Zambry, segala isu berbangkit sepanjang konvensyen yang berlangsung selama sehari itu akan dibawa ke peringkat tertinggi demi untuk memperbaiki kelemahan yang wujud.
“Hasil perbincangan yang dibangkitkan akan diberi perhatian dan ia sebagai usaha kita memperbaiki sekiranya wujud kekurangan atau kelemahan parti.
“Di peringkat pusat, kita akan mengambil semua maklumat-maklumat itu. Dan ini berdasarkan kepada isu di setiap negeri mempunyai mempunyai permasalahan tersendiri,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: