IPOH – Kerajaan menegaskan tiada sebarang diskriminasi terhadap mana-mana kaum dalam mendapatkan akses pendidikan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebaliknya kemasukan pelajar ke IPTA adalah berlandaskan kepada merit dan bukan berdasarkan latar belakang kaum.
Katanya, kerajaan tidak pernah memilih bulu selain antara perkara yang dibangkitkan adalah berkaitan penempatan pelajar pada pilihan pertama yang melibatkan kursus kritikal seperti perubatan, farmasi dan pergigian.
“Kita tahu bahawa ada ribuan yang minta (untuk penempatan pengajian) tetapi tempat yang ditawarkan agak terhad seperti bidang perubatan.
“Sedangkan, ribuan yang memperoleh keputusan semua A (dalam peperiksaan awam) memohon kemasukan ke kursus pertama mereka.
“Dari segi keputusan mungkin mereka layak, tetapi dalam proses-proses lain seperti perlu melalui temuduga dan sebagainya, ia juga sering menjadi perbahasan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Konvensyen BN Perak di Hotel Casuarina @ Meru, dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi BN Perak merangkap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M Ramasamy serta Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Zambry diminta mengulas berkenaan isu yang dibangkitkan Ramasamy ketika berucap pada konvensyen sama berkenaan kekurangan peluang pelajar India yang cemerlang untuk memasuki IPTA.
Ramasamy juga berkata, masalah sama turut berlaku bagi lepasan matrikulasi yang perlu ditingkatkan lagi kuota.
Mengulas lanjut Zambry memberitahu, situasi kesukaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi tidak hanya dialami segelintir kaum, sebaliknya perkara sama juga terjadi kepada semua pihak.
Jelas beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia menghulurkan bantuan penempatan ke IPTA terhadap kes-kes tertentu seperti melibatkan pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan.
“Sebagai contoh, kita ada membantu pelajar cemerlang yang miskin di Sarawak untuk mendapat penempatan di IPTA.
“Melalui masyarakat setempat kita dapat kenal pasti pelajar itu dan berjaya dimasukkan ke institusi pengajian berkenaan bagi mengikuti kursus perubatan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: