RMK13: Agenda Negara Menua antara yang diberi tumpuan

IPOH – Agenda Negara Menua antara perkara yang akan diberi tumpuan dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai persediaan menuju negara tua menjelang 2044.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, RMK13 akan menjadi RMK pertama yang memberi fokus kepada agenda berkenaan memandangkan 16 peratus daripada populasi penduduk Malaysia terdiri daripada golongan yang berpencen menjelang tahun berkenaan.

Katanya, justeru rangka kerja yang akan dilakukan pada RMK13 nanti akan melibatkan pelbagai penambahbaikkan seperti dari segi kerangka undang-undang dalam mewujudkan sektor ekonomi penjagaan.

RMK13 RMK Agenda Negara Menua antara yang diberi tumpuan rafizi negara ekonomi penjagaan kementerian ekonomi
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika sidang media pada program Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Bersama Kerajaan Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 NOVEMBER 2024.

“Sektor ekonomi penjagaan pula tidak hanya melibatkan warga emas sahaja, malah akan membabitkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Tetapi buat masa kini, sektor berkenaan tidak terangkum, dan dari segi kerangka undang-undang itu ia tidak jelas di bawah kementerian mana, dan bagaimana kawal selia terhadap peraturannya.

“Justeru Kementerian Ekonomi dan kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberikan fokus dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus RMK13 Bersama Kerajaan Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, dekat sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Pengarah Bahagian Ekonomi Makro Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Suhana Md Saleh.

RMK13 RMK Agenda Negara Menua antara yang diberi tumpuan rafizi negara ekonomi penjagaan kementerian ekonomi
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke program Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Bersama Kerajaan Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 NOVEMBER 2024.

Mengulas lanjut Rafizi berkata, dalam usaha Agenda Negara Menua, kerajaan juga merancang mewujudkan sektor ekonomi penjagaan dengan lebih mampan melalui usaha-usaha jangka panjang.

Jelas beliau, antara rangka kerja penting yang akan digerakkan adalah proses mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang bersifat menyeluruh sebagai persediaan menuju negara menua.

Dalam perkembangan sama, Rafizi memberitahu Kementerian Ekonomi akan terus melaksanakan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Inisiatif Usahawan Tani (INTAN).

Jelas beliau, inisiatif berkenaan disifatkan sebagai serampang pelbagai mata yang mana di samping membantu golongan sasar keluar daripada garis kemiskinan, ia juga dapat membantu memperkasakan soal keterjaminan makanan negara.

“Apabila lebih banyak tapak Program IPR-INTAN dapat dibuka, ia sebenarnya dapat menambah hasil bahan makanan asas serta memberi peluang lebih ramai orang untuk menyertainya.

“Misalnya selepas dua tahun peserta program berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan, maka dia akan keluar dan peserta baru akan masuk dan meneruskan program itu.

“Dan melalui usaha ini kita melihat ia akan menambah kapasiti pengeluaran bahan makanan dalam negara secara berterusan,” katanya lagi.

Ujar beliau lagi, ketika ini banyak kerajaan negeri sudah mula memberi reaksi positif terhadap program tersebut dengan menyediakan tanah untuk dilaksanakan IPR-INTAN seperti di Tanjung Rambutan, Ulu Kinta.

Tambah Rafizi, apabila lebih banyak tanah yang ditawarkan kerajaan negeri maka lebih banyak peruntukan boleh disalurkan Kementerian Ekonomi terhadap inisiatif tersebut. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pengangkutan kereta api di Perak dipertingkat – Rafizi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI