IPOH – Kerajaan Negeri Perak dijangka membentangkan Belanjawan Perak 2025 dengan peruntukan dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion pada pembentangannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat.
Bercakap kepada MG Perak, Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan Dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zainizam Zakariya berkata, ia berdasarkan unjuran hasil negeri mencecah RM1.36 billion pada tahun hadapan.
Menurut beliau, berdasarkan buku Laporan Belanjawan Perak dari tahun 2020 sehingga 2024, didapati hasil negeri meningkat secara purata 4.53 peratus setahun, dengan hasil tertinggi direkodkan pada 2024 berjumlah RM1.279 bilion.
“Jika kita lihat peruntukan belanjawan ia menunjukkan peningkatan dengan purata 3.75 peratus setahun dalam tempoh yang sama.
“pada 2024 jumlah Belanjawan Perak mencapai RM1.347 bilion iaitu yang tertinggi sekali dalam sejarah belanjawan negeri,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Zainizam, analisis laporan belanjawan yang lepas turut menunjukkan Perak merekod peningkatan yang konsisten dalam hasil dan belanjawan dengan masing-masing meningkat pada kadar purata 9.7 peratus dan 10.5 peratus setiap tahun.
Justeru itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Perak dijangka meneruskan dasar belanjawan fiskal mengembang dengan peruntukan yang lebih tinggi berbanding tahun ini.
“Jika berdasarkan pola atau corak belanjawan sepanjang lima tahun lepas, diunjurkan hasil negeri pada tahun 2025 akan mencecah RM1.36 bilion, manakala belanjawan negeri pula dijangka mencecah RM1.5 billion/,” katanya.
Mengulas lanjut Zainizam berkata, secara purata pertumbuhan belanjawan mengurus Negeri Perak bagi tempoh 2022 hingga 2024 adalah sebanyak 3.5 peratus setahun.
Namun begitu, beliau berkata, berbanding tahun 2023, peruntukan bagi belanjawan mengurus telah meningkat 7.8 peratus pada 2024 dari RM794 juta kepada RM896 juta ekoran peningkatan peruntukan emolumen dan pemberian.
Jelas beliau lagi, sebaliknya perbelanjaan pembangunan, menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan purata yang tinggi sekitar 27 peritus.
“Jika dilihat daripada agihan peruntukan, didapat bahawa peruntukan mengurus menunjukkan trend menurun daripada 72 peritus pada 2022 kepada 63.5 [eratus bagi 2024.
“Sebaliknya, peruntukan belanjawan pembangunan menunjukkan trend yang meningkat daripada 28 peratus kepada 36.5 peritus dan ia tidak mengejutkan memandangkan ia dilihat sebagai menyokong matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Tambah beliau lagi, sekiranya ia kekal peruntukkan pembangunan dalam Belanjawan Perak 2025 akan meningkat kepada 38 hingga 40 peratus disebabkan ia akan terus menjadi agenda utama untuk mencapai sasaran ekonomi jangka panjang negeri.
Tahun lalu, Kerajaan Negeri Perak membentangkan Belanjawan Perak 2024 berjumlah hampir RM1.35 bilion, tertinggi dalam sejarah dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM856 juta dan pembangunan RM491 juta.
Belanjawan yang bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu merangkumi lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan, kelestarian alam sekitar, keterjaminan bekalan makanan serta pembangunan modal insan dan belia.
Pelaksanaan Belanjawan Perak 2024 dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.28 bilion yang terdiri daripada hasil cukai (RM657.7 juta), hasil bukan cukai (RM392.2 juta), dan terimaan bukan hasil (RM192.6 juta) dan terimaan pembangunan RM37 juta.
Jumlah Hasil yang terdiri daripada hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil berjumlah RM1.24 bilion, iaitu peningkatan RM108.9 juta (9.6 peratus) berbanding sasaran tahun 2023.
Manakala Anggaran Terimaan Pembangunan Tahun 2024 meningkat kepada RM37 juta berbanding RM25.4 juta pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak RM11.6 juta (45.7 peratus) berbanding tahun 2023. -MG Perak
Artikel Berkaitan: