MB Perak umum Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji penjawat awam

IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri ini dalam Belanjawan Negeri Perak 2025.

Bonus itu turut akan dinikmati semua guru lantikan Negeri, Orang Besar Jajahan, Ketua-Ketua Kampung serta kakitangan di bawah kontrak Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu sebagai menghargai dedikasi penjawat awam negeri yang tidak berbelah bahagi dalam memikul tugas yang diamanahkan.

“Sebagai penghargaan di atas segala curahan bakti yang diberikan oleh seluruh kakitangan negeri, maka saya yang dikatakan biadab ini dengan ini mengumumkan BKK dua bulan gaji.

“BKK ini berdasarkan kepada gaji akhir November ini, dan akan dibayar (bayaran penuh bantuan khas) pada minggu terakhir Disember depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Terdahulu Saarani berkata, ada segelintir pihak yang tidak suka melihat kepada kejayaan yang dicapai kerajaan negeri sebagai suatu kebaikan, sebaliknya ditutup dengan perasaan kebencian.

Malah ujar beliau, ada yang menghina kerajaan dengan gelaran ‘kerajaan tidak boleh diharap’ seolah-olah kerajaan yang dipimpin beliau tidak pernah membuat apa-apa kebaikan kepada rakyat.

“Saya sebagai menteri besar pula dilabel dengan cacian ‘MB biadab’, seolah-olah saya sedang melakukan penindasan dan penganiayaan ke atas rakyat. Tetapi saya tidak berniat menjadikan dewan ini untuk membalas kejian dan cacian.

“Kerana dalam perjalanan hidup, saya belajar bahawa maruah seorang pemimpin tidak terletak pada kekuatan membalas cacian, tetapi kepada keupayaan untuk tetap berdiri teguh memikul amanah dengan keinsafan dan keikhlasan,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2025: RM1.52 bilion tertinggi dalam sejarah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI