Tiada kenaikan tarif elektrik untuk pengguna Semenanjung 1 Jan-30 Jun 2025

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung menerusi pelaksanaan kadar pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun tahun depan.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan, keputusan yang dibuat pada 13 Dis lepas merupakan komitmen kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi menerusi pelaksanaan subsidi secara bersasar.

“Secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 yang akan dibiayai oleh kerajaan kali ini adalah sebanyak RM2,388 juta.

“PETRA percaya bahawa pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan terbaik pada masa ini supaya mengurangkan komitmen subsidi kerajaan agar peruntukan tersebut dapat disalurkan dalam bentuk bantuan lain kepada rakyat,” menurut kementerian itu.

Inisiatif itu menurut PETRA membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara.

PETRA pada 29 Jun lepas mengumumkan rebat dua sen per kilowatt jam (kWj) dikekalkan bagi 6.9 juta pengguna domestik di bawah 600 kWj, tiada perubahan kepada 1.3 juta pengguna di bawah 1,500 kWj dan rebat 10 sen/kWj untuk 85,000 pengguna melebihi 1,500 kWj.

Selain itu, menurut kenyataan tersebut, kerajaan juga bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) untuk tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula 1 Jan hingga 31 Dis 2027.

Sehubungan itu, kerajaan menerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu yang mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar dan lebih kompetitif di samping mengekalkan keseimbangan trilema tenaga iaitu jaminan bekalan tenaga, akses kepada bekalan tenaga dan kelestarian, menurut PETRA.

Kementerian itu memaklumkan jadual tarif baharu dicadang untuk dilaksanakan bermula 1 Julai 2025 dengan melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM3,570 juta yang akan dibiayai kerajaan.

Kerajaan juga menurut PETRA kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 bagi pengguna kategori Miskin Tegar dalam Sistem e-Kasih dengan peruntukan RM55 juta.

“Pengguna boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/ atau hadir ke kedai utiliti berhampiran atau melihat jumlah subsidi elektrik dalam bil elektrik bulanan,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI