IPOH – Dianggarkan sebanyak RM800,000 jumlah terkumpul tunggakan sewa bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Perak yang direkodkan setakat ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, jumlah itu melibatkan sikap culas penghuni di 16 PPR seluruh negeri dengan ada antara mereka yang merekodkan tunggakan sewa sehingga RM4,000.
Katanya, kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) mengambil beberapa tindakan perlu dalam usaha mengurangkan kadar tunggakan sewa berkenaan.
“Setakat ini kita ambil pendekatan untuk mengeluarkan notis serta mengadakan sesi bimbingan. Ia juga melibatkan perbincangan dalam memastikan mereka dapat membayar kadar tunggakkan melalui kaedah pembayaran ansuran dan sebagainya.
“Namun, terdapat juga kes kritikal yang mana pelbagai usaha telah dilakukan, namun mereka masih gagal untuk melunaskan bayaran tunggakan sewa tersebut.
“Dalam dalam hal ini kita terpaksa mengambil tindakan mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita Program Sejahtera Warga Emas: Komuniti Mesra Usia di Dewan Greentown Rumah Pangsa Jalan Hospital, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan; serta Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Wong Kar Keat.
Menurut Sandrea, Perak menyasarkan agar 50 peratus daripada jumlah tunggakkan sewa PPR setakat ini dapat dikurangkan pada tahu hadapan.
Jelas beliau, LPHP akan mempergiatkan lagi usaha dalam menyelesaikan masalah itu daripada berterusan, termasuk mengadakan kerjasama dengan pihak swasta.
Mengulas lanjut Sandrea berkata, usaha itu perlu dilakukan dalam memastikan kedudukan kewangan negeri terus kukuh dalam memastikan operasi PPR dapat terus berjalan dengan baik.
“Kerajaan ingin masyarakat faham bahawa menyediakan rumah PPR dengan kadar sewa serendah RM40 hingga RM140 sebulan merupakan cabaran yang besar.
“Justeru, kami amat memerlukan kerjasama daripada para penyewa untuk membayar sewa tepat pada masanya dan bersama-sama menjaga kemudahan awam.
“Hanya dengan komitmen dan sikap bertanggungjawab ini, kita dapat memastikan pengurusan PPR berjalan lancar dan kekal lestari untuk jangka masa panjang,” katanya lagi.
Beliau sebelum itu mengulas berkenaan operasi menanggalkan pintu rumah penyewa PPR yang culas melunaskan tunggakan bayaran sewa rumah melebihi RM15,000 di Seremban.
Mengulas tentang program, Sandrea memberitahu, Sejahtera Warga Emas: Komuniti Mesra Usia dianjurkan bertujuan memberi pendedahan tentang cara penjagaan warga emas yang betul serta membantu mereka menikmati kehidupan lebih selesa.
Kata beliau, program itu meliputi meliputi sesi informasi dan pendidikan kepada peserta tentang kaedah penjagaan fizikal, mental, dan emosi yang lebih baik bagi warga emas.
“Melalui program ini, LPHP bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menilai infrastruktur di PPR bagi mengenal pasti aspek-aspek yang kurang mesra warga emas, yang meliputi susun atur perabot, kemudahan harian, serta rutin harian penghuni,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ramai penyewa unit PPR sewakan rumah kepada warga asing – Kor Ming