PASIR SALAK – Anggota polis yang hilang dihanyutkan arus ketika bermandi-manda bersama rakan-rakannya di tali air Jalan Utama Changkat Lada, Kampung Gajah di sini semalam, ditemukan lemas awal pagi tadi.
Mangsa, Koperal Muhammad Taufik Sayuti, 39, dijumpai di sekitar kawasan tebing kira-kira 3.048 meter (10 kaki) dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat mangsa ditemui sekitar jam 4.55 pagi oleh anggota PKB yang bertugas.
“Anggota bertindak menaikkan mayat mangsa lemas itu menggunakan bucket stretcher, tali webbing dan tali menyelamat.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,“ katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, seramai 12 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Teluk Intan terbabit dalam operasi tersebut.
Semalam, media melaporkan anggota polis terbabit dipercayai baru sahaja selesai menghadiri majlis perjumpaan (reunion) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada dan kemudiannya pergi ke tali air pintu gerbang Changkat Lada untuk mandi bersama rakan-rakan.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan keletihan dan cuba ke tebing namun arus deras menghanyutkannya.
Difahamkan, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Melaka itu telah pulang ke kampung halamannya di Changkat Lada untuk bercuti. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Anggota polis hilang ketika bermandi manda bersama rakan ditemui lemas […]