PARIT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di Parit 4, di sini pada Isnin.
Muhammad Ammar Razif Jamhari dipercayai terjatuh ke dalam tali air ketika bermain dengan rakan-rakannya.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 5.45 petang Isnin yang memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas.
Menurut beliau, mangsa ditemui 30 meter dari tebing tali air terbabit selepas keluar bermain bersama rakan-rakannya.
“Penduduk tempatan telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Bota Kiri dan hasil pemeriksaan Penolong Pegawai Perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seri Iskandar untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Hafezul Helmi berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pegawai perubatan mendapati punca kematian disebabkan ‘Pulmonary Edema Consistent With Drowning’ (lemas).
Beliau turut menasihati ibu bapa agar sentiasa mengawai anak-anak dari bermain di kawasan sungai dan tali air tanpa pengawasan ekoran air deras disebabkan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2025. -MG Perak
Artikel Berkaitan: