KESIHATAN mental merupakan kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial individu di mana ia mempengaruhi cara berfikir, merasa dan bertindak yang merupakan elemen penting dalam kesihatan dan kesejahteraan seseorang individu.
Pemeriksaan awal bagi mengenalpasti risiko kesihatan mental dikenali sebagai saringan Minda Sihat yang boleh dilakukan orang ramai di klinik kesihatan yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.
Memetik laporan berita sebelum ini, Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, berdasarkan data tahun 2020 hingga 2022 dianggarkan 18 hingga 20 daripada 100 individu di negeri ini didapati mempunyai masalah kesihatan mental.
Justeru itu, beliau berkata, penjagaan kesihatan mental merupakan taggungjawab bersama pelbagai pihak samada sektor kerajaan atau swasta.
Di Perak terdapat 81 buah klinik kesihatan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menawarkan pemeriksaan awal masalah mental dikenali sebagai saringan Minda Sihat.
81 buah klinik berkenaan berada di semua 12 daerah dalam Perak dengan pecahan jumlah di daerah Muallim (2); Hilir Perak (3); Kampar (4); Hulu Perak (5); Bagan Datuk (5); Batang Padang (6); Kuala Kangsar (7); Manjung (7); Perak Tengah (8); Kerian (9); Larut Matang dan Selama (12) dan Kinta (13).
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dilihat amat komited dalam meningkatkan
kesedaran masyarakat mengenai kesihatan mental dan kempen mengurangkan stigma.
Kempen dan advokasi kesihatan mental diadakan secara berterusan di pelbagai peringkat di mana topik-topik yang disampaikan meliputi pelbagai masalah kesihatan termasuk topik Kesihatan mental.
Program kempen kesihatan, ceramah dan aktiviti fizikal dalam kalangan komuniti di bawah JKN Perak telah dilaksanakan melalui klinik-klinik kesihatan.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan sehingga September 2024 sebanyak 92 aktiviti telah dilaksanakan, merangkumi kempen awam berkaitan kesihatan mental di komuniti, sekolah serta agensi oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan klinik kesihatan.
Sivanesan sebelum ini juga memaklumkan pihak KKM sedang berusaha untuk menambah bilangan kaunselor di peringkat KKM dan juga di peringkat negeri.
Jelas beliau,sehingga November 2024 seramai 24 orang Pegawai Psikologi yang berkhidmat di fasiliti kesihatan di Perak.
Selain itu, 14 orang pegawai dengan pecahan 2 pegawai bertaraf tetap dan 12 pegawai bertaraf ‘Contract For Service’ CFS memberikan perkhidmatan di klinik kesihatan seluruh negeri.
Seramai 4,729 pesakit direkodkan menerima perkhidmatan rawatan susulan pesakit mental di klinik kesihatan di Perak pada 2020 dan jumlah itu bertambah pada 2023 kepada 4,988 pesakit.
Melihat kepada inisiatif yang dilakukan Kerajaan Negeri Perak dan Persekutuan melalui JKN Perak dan KKM membuktikan bahawa masalah kesihatan mental pada hari ini dipandang serius dan dibendung melalui aktiviti saringan kesihatan mental yang dijalankan. -MG Perak
Artikel Berkaitan: