Dulu tentera kini ‘saudagar’ rempah masak hitam Lenggong

DAGING masak hitam merupakan hidangan tradisional masyarakat Melayu di Lenggong yang sering dijadikan menu semasa majlis perkahwinan atau dihidangkan kepada pembesar dan tetamu istimewa.

Penyedian yang rumit serta memerlukan kemahiran teliti menjadikan hidangan tradisional ini hanya boleh dinikmati ketika majlis perkahwinan mahupun acara istimewa suatu ketika dahulu.

Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Azaruddin Sulaiman, 49, yang kini usahawan rempah masak hitam melihat pekerjanya melakukan demonstrasi masakan menggunakan Rempah Masak Hitam Zahra di Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 DISEMBER 2024.

Bagaimanapun, seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Azaruddin Sulaiman, 49, melihat peluang yang wujud ekoran daging masak hitam Lenggong mempunyai permintaan bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan malah juga orang luar yang berkunjung ke kawasan itu.

Menyedari peluang yang wujud, Azaruddin yang merupakan bekas kru kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, mengambil langkah berani menghasilkan rempah masak hitam selepas bersara dari TLDM pada 2020.

Anak kelahiran Lenggong ini berkata, meskipun menyedari dirinya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan, dia tidak gentar untuk mencuba dalam memastikan makanan warisan itu dapat dinikmati penggemarnya tanpa menunggu majlis perkahwinan atau acara istimewa.

Jelasnya, selepas bersara dia berniat pulang ke Lenggong bagi menemani ibunya yang sudah tua namun tanpa diduga dia melihat peluang untuk memulakan perniagaan rempah masak hitam sebagai sumber pendapatan lain.

“Sebenarnya saya tiada pengalaman tentang perniagaan kecuali isteri saya yang memang berniaga makanan dan bakeri semasa kami menetap di Sabah.

Rempah Masak Hitam Zahra. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 DISEMBER 2024.

“Tetapi bila saya balik ke Lenggong saya melihat rempah masak hitam ada poteni sebab ia merupakan masakan tradisional Lenggong. Lalu saya mengambil keputusan memulakan perniagaan rempah masak hitam,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak ketika ditemui di Bukit Nangka, di sini.

Rentetan itu, pada Jun 2020 Azaruddin mengambil keputusan membina bangunan kecil di Bukit Nangka, bagi memulakan perusahaan rempah masak hitam di bawah Zahra Empire Marketing dengan menggunakan jenama Zahra.

Tukar bahan masakan kepada rempah masak hitam

Menceritakan perjalanan perniagaan Azaruddin berkata, penyediaan daging masak hitam di Lenggong ini kebiasannya dihasilkan oleh orang-orang lama yang berpengalaman memasak ketika kenduri atau majlis di kampung.

Katanya, kerana itu resepinya amat istimewa dan beliau memulakan langkah dengan menambah baik bahan-bahan yang digunakan untuk ditukar kepada bentuk serbuk supaya tahan lama dan boleh disediakan dalam tempoh 20 minit sahaja.

Pekerja menjemur rempah ratus antara bahan jenama Rempah Masak Hitam Zahra di Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 DISEMBER 2024.

“Dari segi rasa sebelum berniaga kita sudah cuba bermacam-macam masakan untuk mendapatkan rasa rempah masak hitam yang ada sekarang dan Alhamdulillah kita berjaya hasilkan rempah masak hitam Zahra yang rasanya asli.

“Selain itu sejak mula kami berniaga saya banyak membuat penambahbaikan terutamanya dari segi pembungkusan dan setakat ini sudah lima kali penambahbaikan bungkusan kami laksanakan.

“Selepas proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) pembungkusan selesai kita mula memasarkan rempah kami di kedai-kedai sekitar Lenggong pada awalnya namun permintaan yang menggalakkan mendorong kami menembusi pasaran negeri lain serta Melbourne, Australia,” katanya.

Tambahnya lagi, dia turut menerima bantuan daripada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dari segi pembungkusan melalui penyediaan kod perduaan optik (barcode).

Kenaikan kos bahan mentah cabaran utama berniaga

Bergelar sebagai usahawan sudah pasti ada pasang dan surutnya dan Azaruddin sendiri turut berdepan dengan halangan dalam menguruskan perniagaan rempah masak hitamnya.

Menurutnya, kenaikan kos dalam menjalankan perniagaan terutamanya harga bahan mentah menjadi cabaran berterusan yang bukan sahaja dihadapinya malah juga peniaga-peniaga lain.

Pekerja melakukan demonstrasi masakan menggunakan Rempah Masak Hitam Zahra di Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 DISEMBER 2024.

“Cabaran ini bukan dari pelanggan kerana pelanggan InsyaAllah akan cari kita tetapi kenaikan harga bahan mentah yang mendadak terpaksa mendorong kita membuat semula kajian dan perancangan.

“Apa yang saya buat, kita lihat semula dari segi harga produk di mana pada awalnya kami jual rempah untuk satu kilogram (kg) daging pada harga RM2 satu pek kecil tetapi sekarang RM4,” katanya.

Beliau turut menasihati usahawan lain agar meneruskan perniagaan meskipun terpaksa menaikan harga kerana beban kenaikan harga barang mentah namun berpada hingga tidak membebankan pembeli.

“Nasihat saya kepada usahawan di luar sana teruskan perniagaan kerana sekiranya kita ada produk berkualiti dan asli InsyaAllah pelanggan akan cari kita,” katanya.

Azaruddin berkata sejak awal perniagaan sehingga kini dia belum pernah memohon atau menerima bantuan berbentuk geran atau kewangan dan semuanya diusahakan sendiri.

“Saya cuma dapat pertolongan dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lenggong yang menghantar saya mengikuti kursus perakaunan serta PERHEBAT yang membantu dapatkan papan tanda, bisnes kad, risalah iklan dan gegantung serta kursus kepimpinan.

Pekerja melakukan proses pembungkusan Rempah Masak Hitam Zahra di Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 DISEMBER 2024.

“Jika ada bantuan geran saya alu-alukan kerana kami amat harapkannya untuk membuat penambahbaikan perniagaan rempah masak hitam Zahra,” katanya.

Mahu rempah masak hitam jadi pilih pelancong setiap kali berkunjung ke Lenggong

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan bagi perniagaanya, Azaruddin berkata, dia mahu produknya itu menjadi pilihan utama setiap kali pelancong berkunjung ke Lenggong.

“Saya mahu rempah masak hitam Zahra menjadi satu jenama wajib bila ke Lenggong sama seperti jika ke Lenggong tidak beli perkasam maka tidak lengkap.

Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Azaruddin Sulaiman, 49, yang kini usahawan rempah masak hitam menunjukkan peket Rempah Masak Hitam Zahra syarikatnya di Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 DISEMBER 2024.

“Jadi bila datang ke Lenggong orang ramai mesti kena bawa balik rempah masak hitam kami kerana ia resepi asli Lenggong,” katanya.

Dia juga turut menzahirkan harapan agar produknya itu dapat menembusi pasar raya dalam negara dan memudahkan orang ramai membelinya.

“Saya masih dalam proses mendapatkan beberapa sijil termasuklah pensijilan halal untuk memudahkan kita memasuki pasar raya dalam negara.

“Akhir sekali saya mahu rempah masak hitam Zahra dapat menembusi pasaran luar negara dan sama-samalah kita mendoakannya,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kebebe makanan warisan Lenggong ratusan tahun

 

VIDEO:

MGPerak: Dulu Tentera Kini ‘Saudagar’ Rempah Masak Hitam Lenggong

MGPerak: Dulu Tentera Kini ‘Saudagar’ Rempah Masak Hitam Lenggong

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI