Polis terima tujuh laporan berhubung Hannah

KUALA LUMPUR – Polis menerima tujuh laporan yang dibuat terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang dikaitkan dengan usaha memurtadkan umat Islam dan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Kristian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman yang mengesahkan perkara itu berkata, ia kini dalam siasatan pihaknya.

“Saya sahkan setakat ini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima tujuh laporan polis berkaitan isu membabitkan YB Hannah Yeoh.

“Perkara ini dalam tindakan dan siasatan pihak polis,” katanya menjawab pertanyaan media menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.

Semalam, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil membuat laporan polis terhadap Hannah.

Laporan dibuat di IPD Dang Wangi dalam usaha menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Hannah Yeoh berjudul Becoming Hannah: A Personal Journey yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Segambut itu akan membuat laporan polis berhubung penyebaran mesej dan video yang memberi gambaran kononnya beliau berhasrat untuk memurtadkan orang Islam atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.

Menteri berkenaan dilaporkan berkata, laporan polis berkait mesej dan video berkenaan yang disifatkan berniat jahat itu akan dibuat kerana ia boleh menjejaskan proses rayuannya berhubung kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah difailkan Hannah terhadap Musa berhubung kenyataan pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), empat tahun lalu.

Menerusi saman difailkan pada 3 Julai 2020, beliau mendakwa Musa memberi ucapan pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’ dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai diri beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.

Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah menulis buku bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.

Kelmarin, Ahli Parlimen Segambut itu dilaporkan telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap Musa itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI