LENGGONG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyelesaikan isu pemilikan tanah dalam pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu yang baharu.
Tanpa memperincikan lebih lanjut, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara berkenaan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri Perak.
“Pembinaan ICQS Bukit Berapit yang baharu amat penting kerana kedudukan bangunan sedia ada agak jauh (700 meter dari pintu sempadan antarabangsa).
“Dan ke arah itu kita sedang berhadapan dengan sedikit isu (pemilikan) tanah yang belum kita selesaikan. Namun, ia masih dalam proses penyelesaian antara KDN dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bot Pondok Polis Kampung Beng dan Penyerahan Kunci Kuarters Balai Polis Lenggong di Balai Polis Lenggong, pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman; Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat; Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohamad Fitri Hassan serta Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood.
Sebelum ini media melaporkan KDN bersama Kerajaan Perak secara prinsip telah bersetuju bagi pembinaan ICQS Bukit Berapit yang baharu.
Kata beliau, perbincangan itu tertumpu kepada beberapa isu teknikal membabitkan lokasi, keluasan serta kos pembinaan.
Ketika itu beliau juga dilaporkan berkata, cadangan projek itu akan dimasukkan dalam permohonan bajet di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada tahun 2025.
Mengulas lanjut Shamsul berkata, usaha itu penting sebagai kesediaan KDN dalam menampung jumlah pengguna yang ramai susulan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Betong di Thailand.
Malah kata beliau, ia turut sebagai inisiatif pelengkap dalam menjayakan hasrat kerajaan negeri yang mahukan Daerah Hulu Perak turut dibangunkan sebagai sebuah hub industri.
“Usaha Thailand dalam menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Betong itu sudah pasti akan menyebabkan laluan pintu masuk negara ini menjadi penting (dan sibuk).
“Misalnya mereka yang berada di selatan Kedah atau Pulau Pinang, dan di Lenggong, sudah tentu akan menggunakan kemudahan lapangan terbang berkenaan kerana ia lebih hampir berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lokasi baharu Kompleks ICQS Pengkalan Hulu dimuktamadkan Mei ini