TELUK INTAN – Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan, pada Khamis, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian tiga lelaki warga Pakistan 1 Syawal tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Azizol Abdul Rasheed, 37, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis Proton Iswara di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zahir, 31; Shayan Muhammad 22 dan Khan Adil, 33.
Kesalahan itu dilakukan di kilometer (km) 16 Jalan Teluk Intan hala Bidor, Teluk Intan dalam Daerah Hilir Perak pada jam 8.10 pagi, 10 April 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.
Pada prosiding sama, Mohd Azizol turut didakwa memandu kenderaan sama di bawah pengaruh dadah sehingga mendatangkan kecederaan kepada tiga lelaki lain, iaitu Khan Saleem, 23; Khan Yaseen, 20, dan Kamran Ali, 27 di lokasi, jam serta tarikh sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44(1a)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.
Kata beliau, namun sekiranya jaminan dibenarkan oleh mahkamah, jumlah yang dicadangkan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan manakala lesen memandu digantung sementara sehingga kes selesai.
Peguam mewakili tertuduh, Aliff Aiman Rusli memohon jumlah jaminan minimum dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan lelaki itu bekerja di kedai makan dengan pendapatan harian RM50 selain perlu menanggung ibu berusia 72 tahun yang menghidap sakit tua.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin bagi keenam-enam pertuduhan, selain lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Pada April tahun lalu, media melaporkan tiga lelaki warga Pakistan berusia antara 20 hingga 35 tahun yang berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri maut selepas dilanggar sebuah kereta.
Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Langgar mati tiga lelaki Pakistan: Pembantu kedai makan mengaku salah ambil dadah