KUALA LUMPUR – Isu sebenar apabila kena kerja lebih masa adalah kekurangan petugas kesihatan bukan jadual waktu bekerja.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, penyelesaian yang dimahukan adalah tambah petugas kesihatan bukan mengurangkann waktu bekerja.
“Kerana saya percaya walaupun jadual baru menunjukkan jumlah waktu bekerja berkurangan tetapi ia hanyalah sekadar teori dan angan-angan.
“Realitinya petugas kesihatan kita tetap akan terpaksa bertugas lebih masa disebabkan tugas yang banyak berbanding petugas yang ada,” ujarnya dalam hantaran media sosialnya malam ini.
Dr Akmal berkata demikian sebagai respon kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad mengenai Sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang dipercayai mengurangkan beban kerja kepada petugas kesihatan dalam kalangan doktor.
Menurut Dr Dzulkefly, cadangan itu bagaimanapun tidak melibatkan semua doktor, jabatan mahupun fasiliti kesihatan.
Dalam pada itu, Dr Akmal berharap pembuat dasar di Kementerian Kesihatan dapat memahami apa sebenarnya dimahukan oleh petugas kesihatan.
“Harap pembuat polisi yang balik 0800-1700 dan cuti Sabtu dan Ahad dapat memahami apa sebenarnya yang dihadapi oleh petugas kesihatan kita di bawah ini,” tegas Dr Akmal. – MalaysiaGazette