GERIK – Pengguna Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik ke Jeli dinasihatkan supaya tidak melakukan provokasi sebaliknya mengambil langkah-langkah keselamatan sekiranya terserempak dengan gajah atau haiwan liar lain jika melalui jalan tersebut.
Ketua Polis Daerah Gerik, Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, antara langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil termasuklah memberhentikan kenderaan dan membiarkan gajah melintas.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak membunyikan hon dan memasang lampu tinggi serta tidak melakukan provokasi yang akan membahayakan diri.
“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian ini dan tidak dapat mengesahkan lokasi sebenar kejadian tersebut.
“Justeru, orang ramai diminta untuk berhati-hati jika menggunakan JRTB yang menghubungkan Gerik ke Jeli serta berwaspada dengan kehadiran hidupan liar,“ katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Semalam, tular video yang dimuat naik di media sosial memaparkan gangguan sekumpulan gajah ke atas sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna putih dipercayai berlaku sekitar jam 6.30 petang pada Sabtu di laluan Gerik-Tasik Banding.
Menerusi rakaman itu, kumpulan gajah tersebut dilihat bertindak mengerumuni, menggesel dan menggoncang kenderaan berkenaan.
Berdasarkan perkongsian pengguna jalan raya lain, tindakan gajah tersebut menyebabkan bahagian hadapan kereta itu kemek, namun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. – MG Perak
Artikel Berkaitan: