IPOH – Seorang ibu tunggal mendakwa anaknya mengalami kecederaan pada anggota badan akibat didera oleh seorang guru wanita prasekolah di sebuah sekolah di Jelapang, dekat sini, sejak September lalu.
Aiza Salzul Hanira Zulkapli, 42, anaknya yang ketika itu berusia enam tahun itu didakwa diketuk pada bahagian kepala, dicubit menggunakan kuku, dipukul di bahagian leher dan ditampar pada bahagian muka.
Katanya, perkara itu mula disedari apabila mendapati telinga kiri anak tunggalnya itu kemerah-merahan dan luka selepas kanak-kanak itu mendakwa telinganya ditarik serta dipulas guru yang berusia lingkungan 30an berkenaan, pada September.
Menurutnya lagi, pada keesokan harinya anak lelakinya itu didakwa mengalami kecederaan akibat dicubit guru sama pada bahagian rusuk kanan dan pinggang sehingga mendatangkan lebam.
“Saya telah mengadukan perkara ini kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada 12 September, kerana tidak dapat bersabar dan sedih akan anak saya yang diperlakukan begitu.
“Malah anak saya turut mengadu pernah disuruh berlari pusing padang seorang diri, dirotan pada tangan, dada, perut dan belakang badan, hanya kerana mengatakan anak saya tidak buat kerja rumah dan tidak boleh mengeja dengan betul.
“Sedangkan ada murid lain juga (tidak buat kerja rumah), takkan anak saya seorang sahaja yang tidak buat kerja rumah? Agak aneh kerana guru itu pun tidak memaklum apa-apa tentang kerja rumah dalam kumpulan WhatsApp,” katanya dalam sidang media di sini.
Hadir sama, Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) Perak, Chek Kwong Weng.
Dalam pada itu, Aiza Salzul berkata, dia turut tampil membuat tiga laporan polis berhubung insiden itu terhadap guru berkenaan pada 8 dan 14 Disember lalu serta 16 Januari baru-baru ini ekoran kecederaan dialami anaknya.
Tambah wanita berkenaan, selain pernah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selama dua hari kerana kecederaan pada tapak tangan, anaknya juga mengalami gangguan emosi sehingga tidak mahu hadir ke sekolah.
“Saya bawa berjumpa pakar psikiatri kanak-kanak di HRPB dan doktor mengesahkan anak saya mengalami ‘acute stress disorder’, selain ada kecederaan tisu lembut pada kedua-dua tapak tangan.
“Justeru saya mahu membuka mata masyarakat bahawa kes penderaan terhadap murid di sekolah memang wujud,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyemak semula laporan yang dibuat wanita berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kanak-kanak lelaki cedera seluruh badan didera bapa, ibu tiri