Sekatan jualan arak: MCA perlu hormat sensitiviti umat Islam

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perak menggesa MCA agar menghormati sensitiviti umat Islam dan Melayu berhubung sekatan jualan arak di kawasan majoriti Muslim di bandar raya ini.

Ketuanya, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung itu jelas tidak berasas dan bersifat sensasi semata-mata untuk meraih perhatian politik.

Menurut beliau, sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, MCA seharusnya memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab, bukannya melemparkan tuduhan liar kepada rakan-rakan gabungan.

“Isu sekatan jualan arak ini bukanlah perkara baharu, malah ia dilaksanakan berdasarkan sensitiviti masyarakat setempat.

“MCA seharusnya memahami bahawa kerajaan negeri sentiasa mengutamakan keharmonian kaum dan agama, terutama di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Namun, serangan MCA terhadap DAP dan PKR ini hanya mencerminkan sikap mereka yang tidak konsisten dalam menyokong agenda perpaduan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaim Sidqi berkata, sebagai organisasi yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat, AMK Perak akan terus menyokong dasar-dasar kerajaan negeri yang menjunjung prinsip keadilan, keharmonian, dan sensitiviti masyarakat.

Jelas beliau serangan tidak berasas seperti yang dilakukan MCA hanya akan merosakkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

“AMK Perak menuntut MCA untuk segera menarik balik kenyataan tidak bertanggungjawab ini dan memberi tumpuan kepada isu-isu yang benar-benar penting untuk rakyat.

“Jangan jadikan isu sensitif sebagai alat politik untuk kepentingan diri,” katanya.

Terdahulu sebuah portal berita tempatan melaporkan MCA Perak mengecam pemimpin kerajaan negeri, khususnya daripada DAP, susulan peluasan sekatan jualan arak di Ipoh.

Memetik kenyataan berbahasa Mandarin, Chung berkata, sebarang perubahan dasar berkaitan penjualan arak mesti melalui perbincangan telus dan adil serta mempertimbangkan hak semua kumpulan etnik.

“Kita mesti berwaspada. Manjoi telah melaksanakan larangan alkohol. Adakah kawasan lain akan mengikutinya esok?” soalnya.

MG Perak sebelum ini melaporkan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melaksanakan larangan jualan arak di kawasan majoriti muslim selepas terdapat permintaan untuk mengikuti pelaksanaannya di Manjoi. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MBI bakal laksana larangan jual arak di kawasan majoriti muslim di Ipoh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI